DUN Sabah : Kerajaan Laksana Aktiviti, Program Tingkat Ekonomi Rakyat Luar Bandar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan melaksanakan beberapa aktiviti dan program bagi meningkatkan ekonomi rakyat di luar bandar khususnya bagi daerah-daerah yang tersenarai dalam daerah termiskin di Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, antara program yang diperuntukkan termasuklah Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) yang telah bermula sejak 2006.

Katanya, program itu telah banyak membantu golongan berpendapatan rendah iaitu seramai 934 orang peserta bagi 52 MESEJ di Sabah.

“Selain itu, kerajaan turut melaksanakan Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah (RSRS) yang berkonsepkan pemberian bantuan rumah yang selesa oleh Kerajaan Negeri kepada golongan penduduk luar bandar yang memerlukan.

“Program RSRS ini sebenarnya secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi rakyat. Contohnya apabila golongan sasar tidak perlu lagi terbeban dengan kos sewa rumah yang mahal hasil bantuan rumah kediaman yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohammad Mohamarin (Warisan-Banggi) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Jahid berkata, bermula pada tahun lalu, satu peruntukan khusus telah disediakan untuk program RSRS yang mana telah membantu seramai 12 orang Ketua Isi Rumah (KIR) dari beberapa daerah di negeri Sabah

Katanya, selain itu, di bawah Program Usahawan Luar Bandar dan juga Aktiviti Ekonomi Tambahan, memfokuskan kepada aktiviti penternakan burung walit.

“Selain itu, dalam bidang pertanian pula, aktiviti tanaman sacha inchi dan Pisang Saba juga turut menjadi keutamaan kementerian ini dalam meningkatkan sosio ekonomi masyarakat luar bandar khususnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jahid berkata, kerajaan telah menyediakan peruntukan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk projek-projek pembangunan dan pengurusan kemudahan asas rakyat bagi tahun 2022.

Katanya, kaedah penyaluran peruntukan bagi kawasan DUN wakil rakyat bukan kerajaan akan dikendalikan oleh pihak Jabatan Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Alias Sani (Warisan-Sekong).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *