KOTA KINABALU : Pindaan terhadap Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 akan dilaksanakan sebelum menaik taraf status Sandakan sebagai sebuah bandar raya.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Isnin Aliasnih berkata, pindaan bagi ordinan itu akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ini.
“Pindaan-pindaan yang perlu kepada Ordinan Kerajaan Tempatan, 1961 untuk tujuan menaik taraf tersebut akan dibentangkan dalam sidang DUN ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Poon Ming Fung @ Frankie (DAP- Tanjong Papat pada persidangan DUN Sabah disini hari ini.
Isnin berkata, pihaknya bersama Majlis Perbandaran Sandakan turut mengadakan perbincangan berhubung perkara itu.
“Pelan Tindakan Ke Arah Bandaraya telah disediakan oleh Majlis Perbandaran Sandakan. Ini bagi memastikan pelaksanaan ke arah Bandaraya kelak dapat dilaksanakan secara teratur dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan,” katanya