KOTA KINABALU : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah melalui Lembaga Sukan Sabah (LSS) terus komited untuk mentadbir dan menyelenggara kemudahan sukan dan penginapan di 16 buah Kompleks Sukan daerah di Sabah selaras dengan Pelan Strategik Pembangunan Sukan Sabah 2021 – 2030.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, kemudahan sukan yang disediakan itu dilihat dapat meningkatkan pembudayaan sukan di kalangan masyarakat serta melahirkan masyarakat yang sihat, aktif dan produktif di negeri Sabah.
“LSS akan membuka semua kemudahan sukan dan penginapan untuk digunakan oleh masyarakat di negeri ini tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan dikuatkuasakan selaras dengan peralihan ke fasa endemik.
“KBS Sabah sentiasa komited dalam menyediakan infrastruktur kemudahan sukan di Negeri Sabah dimana pada masa ini terdapat beberapa buah Kompleks Sukan sedang dalam pembinaan.
“Antaranya projek pembinaan Kompleks Sukan Tongod; projek pembinaan Kompleks Sukan Tuaran dan projek pembinaan Kompleks Sukan Kota Marudu,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) disini hari ini.
Ellron berkata, KBS Sabah juga telah melaksanakan projek naiktaraf Kompleks Sukan Tenom berdasarkan skop kerja-kerja meroboh bangunan astaka, menambak tanah sebanyak 1.2 Meter dari tanah asal serta pembinaan bangunan astaka baru.
Katanya, fasiliti-fasiliti sukan yang ada di Kompleks-kompleks Sukan dibawah seliaan LSS Sabah akan sentiasa diselenggara dan dinaiktaraf untuk memenuhi keperluan penggunaannya.
“Kementerian saya melalui LSS juga telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan Sukan Tradisi sempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah tahun 2022.
“Antara Sukan Tradisi yang dipertandingkan semasa Pesta Kaamatan tersebut adalah seperti Gusti Lengan (Mipulos); Migazat Dukung (Tarik Tali); Melastik (Momolisitik); Menyumpit (Monopuk); Menumbuk Padi (Tumutu); Mobpiri atau Magapui (Menyalakan Api); Manandus (Membujak); dan Monungkava Kalabau (Menjerat Kerbau),” katanya.