DUN Sabah : Kenaikan kos input punca kenaikan harga ayam, telur

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU : Kenaikan kos input kepada penternak ayam terutamanya kos makanan yang meliputi 70 peratus kos pengeluaran,selain logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan menjadi antara punca kepada kenaikan harga ayam dan telur ayam di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey berkata, pihaknya melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum berhubung perkara tersebut.

“Beberapa pendekatan telah dan sedang diambil termasuk pemakluman menerusi surat  pemberitahuan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang digunakan sebagai soft-approach dalam tindakan pemantauan maklumat di bawah AKHAP 2011 ini.

“Peniaga ayam dan telur di peringkat borong dan runcit telah bersetuju mengurangkan margin keuntungan sejak 11 September 2021.

“Sebanyak 82 premis telah memberikan komitmen penurunan margin keuntungan dan ini  sangat membantu pengguna dalam mendapat harga runcit yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Justin Wong Yung Bin (Bebas-Sri Tanjong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUB) Sabah disini hari ini.

Shahelmey berkata, KPDNHEP telah membuat penetapan harga dan pengurangan harga dengan mewartakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) 2022 yang berkuatkuasa pada 7 Disember 2021 sehingga 31 Disember 2021 dan ianya dilanjutkan bermula 1 Januari 2022 hingga 4 Februari 2022.

“Barangan yang terlibat adalah ayam, telur ayam dan sayur- sayuran. Bagi terus mengawal harga ayam dan telur ayam, KPDNHEP telah menetapkan Penentuan Harga Maksimun Ayam dan Telur Ayam sejak 5 Februari 2022 dan akan berlanjutan sehingga 5 Jun 2022.

“Jemaah Menteri Persekutuan pada 9 Februari 2022 juga telah bersetuju untuk memberi subsidi kepada penternak ayam sebanyak RM0.60/kg bagi ayam dan RM0.05/biji untuk semua jenis gred telur ayam,” katanya.

Dalam pada itu, Shahelmey berkata, KPDNHEP juga mengadakan program libat urus untuk memberi penjelasan, khidmat nasihat dan kerjasama bersama peniaga dalam memahami dan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan.

Katanya, selain itu ianya akan turut melaksanakan langkah kolaborasi bersama agensi Kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah untuk memastikan bekalan mencukupi dan ditawarkan pada harga yang munasabah.

“Pendekatan penguatkuasaan ini menggunakan Mekanisme Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 yang meliputi penguatkuasaan terhadap pencatutan atau pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan.

“Selain itu pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih agresif meliputi seluruh rantaian pengedaran barangan dan perkhidmatan di seluruh negara di bawah Operasi Catut 9.0, Operasi Pasar 2.0 dan Operasi Rantai 8.0,” katanya.

Katanya, pengeluaran Notis bertulis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara untuk mendapatkan maklum balas dan penjelasan secara bertulis mengenai kenaikan harga bagi menentukan berlakunya elemen pencatutan.

Sementara itu, Shahelmey berkata, tindakan berterusan yang dijalankan KPDNHEP Sabah termasuklah mengadakan pendekatan penguatkuasaan berhemah; Ops Pasar 2.0 dan aduan melibatkan kenaikan harga yang tinggi akan disiasat melalui tindakan mengeluarkan notis di bawah Sek. 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *