HomeUtamaDUN Sabah : CJN dikenakan ke atas komoditi perikanan yang dibawa ke...

DUN Sabah : CJN dikenakan ke atas komoditi perikanan yang dibawa ke luar Sabah

Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah melalui Kementerian Kewangan telah mewartakan  Perintah Cukai Jualan Negeri (Kadar Cukai) 2021 bagi mengenakan Cukai Jualan Negeri (CJN) ke atas komoditi perikanan yang dibawa keluar dari negeri ini berkuatkuasa 1 Mei 2021.

Pembantu Menteri Kewangan Jasnih Daya berkata, namun Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan penangguhan ke atas pembayaran CJN bermula 1 Mei 2021 sehingga 28 Disember 2021 dan perlu dibayar sepenuhnya sebelum 28 Januari 2022.

Katanya, penangguhan itu adalah mengambilkira rayuan yang diterima daripada pihak industri di negeri ini.

“Pada Januari 2022, Kementerian Kewangan telah memutuskan bahawa CJN ini akan mula dikutip dan justeru itu pembayaran CJN yang ditangguhkan bagi tempoh Mei hingga Disember 2021 juga perlu dibayar penuh oleh pihak syarikat terlibat sebelum penghujung bulan Januari 2022.

“Walaubagaimanapun, pada hari ini saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah bersetuju ke atas tempoh penangguhan pembayaran CJN bagi bulan Mei hingga Disember 2021 dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chong Chen Bin (DAP-Tanjong Kapor) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Jasnih  berkata, keputusan itu adalah muktamad dan perincian mengenai perkara itu akan diumumkan melalui notis pengumuman yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan kelak.

Katanya, cukai ini adalah dikenakan ke atas pihak syarikat yang terlibat dalam perniagaan komoditi perikanan yang dibawa keluar dari Sabah dan ianya bukan dikenakan ke atas pihak nelayan.

“Kerajaan Negeri sedar bahawa mana-mana cukai jualan yang dikenakan, peniaga pada lazimnya samada memilih untuk menyerap cukai tersebut atau peniaga memilih untuk menurunkan cukai itu kepada pihak yang lain seperti nelayan.

“Situasi seperti ini adalah di luar kawalan Kerajaan Negeri kerana ia berdasarkan amalan komersial iaitu “willing seller, willing buyer”,” katanya.

Sementara itu, Jasnih berkata, tujuan kutipan CJN ini diperkenalkan adalah untuk memastikan bekalan perikanan negeri kekal mampan berikutan aduan kurangnya ikan bernilai tinggi untuk penggunaan dalam negeri.

Katanya, disamping itu juga, kutipan Cukai ini dapat meningkatkan hasil negeri berikutan perbelanjaan operasi dan pembangunan negeri yang kian meningkat dari tahun ke tahun.

“Selain daripada itu, cukai-cukai yang dikutip oleh Kerajaan Negeri adalah digunakan untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam bagi meningkatkan taraf sosial ekonomi rakyat Sabah,termasuklah golongan nelayan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Belanjawan masih berpaksi teguh kepada ekonomi baik, bukan ‘gula-gula’ PRN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular