DUN Sabah : DUN Sabah lulus tiga RUU berkaitan PBT, pengurusan sisa pepejal dan bekalan air

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) melibatkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dan Kementerian Kerja Raya Sabah.

Antara RUU yang diluluskan  adalah berkaitan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pengurusan sisa pepejal dan pembekalan air di negeri ini.

RUU pertama iaitu RUU Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2022 bagi meminda Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 yang membabitkan beberapa pindaan bagi menambah baik punca kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, pindaan RUU itu perlu memandangkan kali terakhir ordinan sedia ada dipinda ialah pada 2000.

“Pindaan dalam enakmen berkenaan termasuk memberi kuasa kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah menubuhkan Majlis Bandaraya mana-mana PBT yang memenuhi kriteria ditetapkan di Sabah.

“Walaupun pindaan dibuat, namun penubuhan Majlis Bandaraya masih tertakluk kepada pelbagai tatacara dan memenuhi kriteria ditetapkan sebelum disytiharkan sebagai Majlis Bandaraya,” katanya ketika membentangkan pindaan RUU berkenaan.

Pada sidang DUN berkenaan, Masidi turut membentangkan RUU Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2022 bertujuan mengadakan peruntukan dan mengawal selia pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Sabah.

Katanya, enakmen yang diwujudkan menerusi RUU itu dilaksanakan berikutan keputusan jemaah menteri Sabah pada 23 Mac 2016 menolak pemakaian Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 673).

Menurutnya, Jemaah Menteri sebaliknya memutuskan agar suatu enakmen bagi negeri Sabah diwujudkan untuk melaksanakan tugas Pengurusan Pelupusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Sabah, selain memastikan kuasa eksekutif pelupusan sisa pepejal dan pembersihan awam adalah di bawah kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut membentangkan RUU Bekalan Air Sabah (Pindaan) 2022 untuk meminda Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 bagi memperkukuh dan memperkasa peruntukan perundangan termasuk  kuasa penguatkuasaan serta menambah baik mutu perkhidmatan bekalan air sedia ada di Sabah.

Katanya, pindaan enakmen itu dilakukan bersama-sama dengan penggubalan peraturan baharu yang dinamakan  Peraturan-Peraturan Bekalan Air Sabah (Retikulasi Air & Pemasangan paip) 2022.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *