KOTA KINABALU : Kerajaan negeri akan terus mempertahankan hak-hak Sabah seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tuntutan berkaitan dengan MA63 akan terus dibuat berteraskan semangat Keluarga Malaysia.
Katanya, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Peguam Besar Negeri sedang dalam perbincangan dengan Badan Kehakiman untuk cadangan melantik pesuruhjaya kehakiman di bawah Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Bagi cadangan penukaran gelaran Ketua Menteri Sabah kepada Premier, pada masa ini, Kerajaan Negeri belum bercadang untuk menukar gelaran tersebut.
“Berhubung isu Akta Laut Wilayah 2012, North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974, Kerajaan Sabah berpendirian bahawa hak dan kepentingan negeri adalah seperti termaktub di bawah North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954 yang meliputi pelantar benua atau continental shelf.
“Oleh itu, hak dan kepentingan negeri ini telahpun dimaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan melalui mesyuarat Majlis Khas MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi ucapan penggulungan Jabatan Ketua Menteri di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, Sabah dan Sarawak adalah merupakan Borneo States seperti yang termaktub dalam pindaan Perlembagaan Perkara 1(2) iaitu negeri-negeri Borneo adalah Sabah dan Sarawak.
“Status negeri Sabah ini adalah selaras dengan IGC Report,”katanya.