Kerajaan Akan Pastikan Sekolah Daif Di Sekitar Sabah Dinaiktaraf

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan terus komited untuk melabur dalam bidang pendidikan demi anak-anak Malaysia dengan cara membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, sebanyak 113 Sekolah Daif telah diamanahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai Agensi Pelaksana oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kos keseluruhan projek menaik taraf sebanyak RM1.02 bilion.

Katanya, daripada jumlah tersebut, enam projek dalam fasa penyerahan, 58 projek dalam fasa pembinaan, tiga dalam fasa perolehan dan selebihnya berada dalam fasa rekabentuk, perancangan dan pra perancangan.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia di atas kepercayaan yang telah diberikan kepada Kementerian Kerja Raya dan Agensi bagi menaiktaraf fasiliti pendidikan di Sabah terutamanya di kawasan Pedalaman,” kata Arthur semasa merasmikan majlis penyerahan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Inandung kepada Guru Besarnya di daerah Keningau, hari ini.

Pembinaan bangunan baharu SK Inandung merangkumi enam unit bilik darjah, bangunan pentadbiran, empat unit rumah guru dan sebuah Makmal Sains dengan kos peruntukan sebanyak RM6.08 juta.

Menurut Arthur, Di Parlimen Pensiangan sebanyak lima buah Sekolah Daif dalam proses pelaksanaan yang mana tiga daripada sepenuhnya dan telah diserahkan kepada pihak Pengurusan Sekolah.

Lima buah sekolah tersebut adalah SK Inandung, SK Simbuan, SJKC Cheng Ming, SK Penagatan dan SK Ansip dengan kos perbelanjaan sebanyak RM18.8 juta.

“Projek yang berteraskan kepada keperluan rakyat mencerminkan keprihatinan Kerajaan dalam memastikan anak-anak kecil Keluarga Malaysia mendapat infrastruktur dan persekitaran pendidikan yang selesa bagi membolehkan mereka mencapai perkembangan diri yang optimum.

“Persekitaran pembelajaran memainkan peranan yang penting dalam menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Persekitaran fizikal seumpama guru ketiga yang membimbing pembelajaran dalam bilik darjah,”tambahnya.

Turut hadir di Majlis penyerahan tersebut Jurutera Awam Penguasa Kanan JKR Malaysia, Ir. Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah dan Penolong Pengarah/Projek Bangunan JKR Sabah, Andrew Durat Misum.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *