Kadar zakat fitrah di Sabah kekal RM7

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 32 Second

Oleh : ERDIE AB WAHID

KOTA KINABALU : Kadar bayaran zakat fitrah bagi negeri Sabah pada tahun ini kekal seperti tahun lalu iaitu sebanyak RM7.

Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, kadar zakat itu ditentukan berdasarkan sukatan satu gantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras dimakan oleh majoriti pendududuk Sabah.

“Saya sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sabah dengan ini mengisytiharkan bahawa kadar Zakat Fitrah bagi tahun 1443 Hijrah bersamaan tahun 2022 Masihi ialah berharga RM7 atas setiap orang Islam yang bermastautin di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Wisma Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) disini petang tadi.

Bungsu berkata, pada tahun ini, MUIS telah melantik seramai 39 orang Penyelaras Wakil Amil dan seramai 2000 orang Wakil Amil untuk menyelaras dan memungut  Zakat Fitrah sepanjang bulan Ramadan.

Katanya, kesemua mereka akan dibekalkan dengan kad kuasa bagi mengelak masyarakat Islam mengeluarkan fitrah kepada orang-orang yang tidak  bertanggungjawab dan tidak mempunyai tauliah.

“Setiap tahun menjelang bulan Ramadan MUIS akan melantik Penyelaras Wakil Amil dan Wakil Amil Zakat Fitrah yang terdiri daripada Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS), Penjawat Awam dan  Imam-Imam Kariah.

“Selain itu, turut dilantik Ketua-Ketua kampung, pemimpin-pemimpin masyarakat dan orang-orang perseorangan yang memiliki sifat amanah serta berbudi pekerti mulia,” katanya

Dalam pada itu, Bungsu berkata, kutipan zakat dikutip oleh MUIS pada tahun lalu berjumlah RM122,495,859.55 yang  merangkumi RM10,761,541.82 bagi zakat fitrah, manakala RM111,734,317.73 adalah zakat harta.

Katanya, jumlah tersebut melibatkan seramai 1,537,130 pembayar zakat fitrah dengan peningkatan 63,565 pembayar atau empat peratus berbanding 1,473,565 orang pada tahun sebelumnya.

“Bagi jumlah pungutan zakat harta pula diperoleh daripada pendapatan, penggajian, simpanan, perniagaan, emas atau perak, saham, pertanian dan ternakan membabitkan 89,785 pembayar,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *