HomeIsu tempatanRedah bukit,hutan cari talian internet untuk pengesahan hadir konvokesyen

Redah bukit,hutan cari talian internet untuk pengesahan hadir konvokesyen

Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU: “Saya terpaksa meredah bukit dan hutan untuk mendapatkan talian internet bagi membolehkan saya membuat pengesahan kehadiran menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-22,” kata Jasri Mangi,24.

Meskipun tinggal jauh di pedalaman Pensiangan namun Jasri yang merupakan pelajar dari golongan B40 tetap bersemangat untuk menghadiri istiadat konvokesyen berkenaan.

Lebih manis apabila turut membawa kedua ibu bapanya untuk melihat dirinya menerima penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dengan Kepujian, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP).

“Bila saya tahu pihak UMS ingin mengadakan Majlis Konvokesyen yang sudah tertangguh dua tahun akibat pandemik COVID-19, saya berasa sangat teruja dan melakukan persediaan dengan lebih awal.

“Saya menaiki bukit di kawasan Salung Pensiangan untuk mengisi maklumat menghadiri konvokesyen kerana di kawasan saya, liputan internet sangat teruk.

“Saya juga mencari sumber kewangan dengan bekerja sementara sebagai pemeriksa barang di salah sebuah kedai di Salung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang terakhir Majlis Konvokesyen UMS di sini, hari ini.

Mengimbas kembali ketika menerima kunjungan UMS bersama surat tawaran, Jasri memaklumkan bahawa beliau tidak menyangka peluang itu memberikan satu perjalanan baharu yang mengubah pandangan hidupnya untuk terus berjaya.

“Tawaran yang diberikan UMS merupakan satu peluang terbesar untuk saya. Walaupun saya berasa gembira ketika menerima surat tawaran namun jauh di sudut hati masih ada perasaan tidak yakin kerana saya bukan daripada keluarga yang berada.

“Dengan bantuan yang dihulurkan oleh UMS, akhirnya saya dapat menjejakkan kaki ke sini untuk melanjutkan pelajaran di mana ia merupakan langkah pertama untuk saya mengejar cita-cita.

“Saya sangat berharap pihak UMS meneruskan usaha membantu pelajar dalam kalangan B40 meneruskan pelajaran di peringkat pengajian tinggi,” katanya yang turut menceritakan cabaran yang dihadapi termasuk menyewa kenderaan dan bermalam bersama ibu bapa di rumah kenalan.

Dalam pada itu bapanya, Mangi Ambalau menyifatkan anak keduanya itu sebagai seorang yang mempunyai semangat kuat dan menjadi contoh kepada adik beradik yang lain.

“Saya sangat bangga melihat semangat dan keteguhannya untuk menamatkan pengajian di UMS ini. Dia adalah contoh baik yang boleh menjadi inspirasi adik-adiknya walaupun kami berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan,” tambahnya.

Ibunya, Orom@Kapit Ampalus pula memaklumkan, beliau gembira melihat kejayaan anaknya meraih ijazah yang diidamkan.

“Saya gembira anak saya sudah tamat pengajian dan berharap dia boleh mendapat kerja yang baik selepas ini,” ujar beliau.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Tun Juhar hadir sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat 5 Divisyen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya