Individu Yang Layak Digalakkan Ambil Dos Penggalak Bertujuan Memberi Perlindungan Kesihatan – Shahelmey

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 26 Second

PUTATAN: Orang ramai atau individu yang layak digalakkan mengambil suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 bertujuan memberi perlindungan kesihatan tertinggi dikalangan rakyat di negara ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, setakat ini tidak ada kesesakan mana-mana pusat penerimaan vaksin di Sabah untuk mengambil dos penggalak, namun bagi mereka yang hanya mendapat dua dos vaksin COVID-19 jenis Sinovac dan yang berumur 60 tahun ke atas, status mereka adalah tidak lengkap divaksin tertera di aplikasi MySejahtera, bagaimanapun tidak ada penalti atau sebagainya dikenakan.

“kita menggalakkan mereka untuk mendapatkan dos penggalak bertujuan untuk menjaga kesihatan mereka kerana kita dapat makluman dan kajian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa bagi dos vaksin COVID-19 jenis Sinovac selepas beberapa bulan, tempoh ketahanan badan akan berkurang.

“Oleh yang demikian, kita menggalakkan mereka untuk mendapatkan dos penggalak bukannya untuk menafikan hak mereka bergerak tetapi untuk menjaga kesihatan mereka,” jelas Shahelmey semasa ditemubual pemberita selepas melancarkan program Kempen Bersih Putatan di perkarangan Pejabat Daerah Putatan pada Jumaat.

Ini adalah berikutan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, lebih dua juta penerima vaksin Sinovac bakal kehilangan status vaksinasi lengkap menjelang 1 April ini kerana masih belum menerima dos penggalak.

Namun menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM) KKM menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, memaklumkan bahawa status digital vaksinasi hanya akan bertukar tidak lengkap di aplikasi MySejahtera bagi penerima vaksin primer Sinovac yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Untuk makluman, status vaksinasi COVID-19 kepada semua penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas dan penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun ke atas yang masih belum mendapatkan dos penggalak hanya akan bertukar menjadi tidak lengkap.

“Ia bukan dihilangkan seperti yang dinyatakan dalam mesej tersebut,” kata kenyataan itu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *