Johan Bahas Guru Piala Pusingan YGMB Peringkat Kebangsaan 2022 Milik Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Johan Pertandingan Bahas Guru Piala Pusingan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) Peringkat Kebangsaan 2022 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sah menjadi milik pasukan Sabah selepas menewaskan pasukan Kelantan di peringkat akhir perbahasan.

Jurulatih Pasukan Bahas Sabah Dexter Silam berkata, selepas 18 tahun, sirih pun pulang ke gagang, Johan Bahas Guru Kebangsaan sah menjadi milik Sabah.

“Alhamdulillah atas rezeki yang Allah berikan buat pasukan Bahas Guru Sabah. Kita hanya berusaha, mengangkat doa dan selebihnya berserah pada yang Maha Esa,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Pertandingan Bahas Guru yang berlangsung selama tiga hari pada 27 hingga 29 Mac baru-baru ini di Terengganu menyaksikan pasukan Sabah memenangi pusingan separuh akhir menentang pasukan Selangor dengan membahaskan usul, Arus Kecil di Aliran Perdana, Ibarat Abu di Atas Tunggul.

Katanya, kemenangan ini membawa pasukan Sabah ke peringkat akhir menentang pasukan Kelantan dengan membahaskan usul, Generasi Alfa Umpama Tikus Jatuh ke Beras.

Pasukan Sabah membawa watak sebagai Kerajaan memenangi keseluruhan pertandingan sekali gus menjadi juara dalam pertandingan itu.

Manakala kategori Pembahas Terbaik dinobatkan kepada pembahas Kamarudin Ismail juga daripada pasukan Sabah.

Dalam pada itu, naib johan dimiliki oleh Kelantan, diikuti Selangor tempat ketiga dan Putrajaya tempat keempat.

Barisan Pembahas Sabah diwakili oleh Cikgu Mohd Redzwan Abd Majid (SK Kg. Suan Lamba, Kinabatangan), Cikgu Inra Darmensa (Kolej Vokasional Beaufort), Cikgu Kamarudin Ismail (SMK Desa Kencana, Lahad Datu), Cikgu Abd Wahab Abd Hamid (Sekolah Agama Suria, Tuaran) dan Cikgu Avralinetine Epin (SK Pekan Pitas II).

Turut mengiringi pasukan Bahas Guru Sabah iaitu dua orang jurulatih, Jamilah Ahmad (SK Bahagia, Tawau) dan Dexter Silam (IAB Cawangan Sabah) serta Pengurus Pasukan Awang Jaya Awang Damit dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPN Sabah).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *