‘Aura’ Ramadan kembali terasa selepas kebenaran tunai solat tarawih berjemaah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU : Kebenaran menunaikan solat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau malam ini memberikan kelegaan kepada jemaah selepas hampir dua tahun tidak dapat melaksanakannya ekoran pandemik COVID-19.

Selain itu, kebenaran pelaksanaan solat berjemaah dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah lain yang dikuatkuasakan bermula semalam turut mengembalikan ‘aura’ Ramadan yang tidak dapat dirasai sebelum ini.

Bagi seorang jemaah Masjid Al-Hilal Putatan, Madzaral Sebalun berkata, beliau berasa syukur apabila umat Islam khususnya di Sabah dapat menunaikan solat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau.

“Syukur alhamdulillah, doa kita dimakbulkan.  Moga keadaan akan terus bertambah baik.  Ini juga adalah satu saat yang ditunggu dan satu kegembiraan bila mana kita dapat berjemaah dan merapatkan sejadah tanpa bersentuhan berbanding sebelum ini.

Madzaral Sebalun

“Sebelum ini ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya hanya menunaikan solat tarawih dirumah bersama keluarga,” katanya kepada Sabah Media disini hari ini.

Seorang penduduk Kampung Tanjung Aru Lama Mohd Adam Arinin turut mengakui rasa bersyukur apabila dapat menunaikan solat tarawih di masjid bersama penduduk kampung berhampiran.

“Dua tahun lalu, saya hanya mampu mendengar bacaan solat tarawih dari rumah ekoran pelaksanaan PKP yang tidak membenarkan solat berjemaah di masjid mahupun surau selain hanya jawatankuasa masjid sahaja dibenarkan.

“Ketika diumumkan kebenaran merapatkan sejadah, secara peribadi saya rasa terharu dan gembira.  Alhamdulillah tahun ini saya dan jemaah lain dapat menunaikan bersama,” katanya yang menunaikan solat di Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru.

Kegembiraan sama turut dikongsi Mohd Shahrul Thani yang turut menzahir rasa syukur dapat melaksanakan tarawih di Masjid Jamek Kampung Ulu Putatan selepas dua tahun berdepan pandemik COVID-19.

Mohd Shahrul Thani

“Sebelum ini ketika PKP, saya hanya solat tarawih bersama keluarga namun tahun ini saya rasa teruja kerana telah diberi kebenaran berjemaah selain turut dapat merapatkan sejadah,” katanya.

Bagi Mohd Redzuan yang menunaikan solat tarawih di Masjid Nurul Iman Sabindo turut berasa lebih yakin dan selesa apabila dapat menunaikan secara berjemaah di masjid selepas kerajaan memberi kebenaran.

Mohd Redzuan

Sebelum ini, Kerajaan negeri membenarkan solat berjemaah di masjid atau surau dengan kapasiti penuh dan jarak di antara jemaah berdasarkan saiz sejadah, bermula semalam.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah memberi kebenaran itu..

Katanya, ketetapan itu juga terpakai untuk prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan solat Jumaat dan solat tarawih.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *