FAMA bangunkan outlet peruncitan perkukuh rantaian bekalan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

KUCHING :  Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membangunkan banyak outlet peruncitan yang bertujuan memperkukuh rantaian bekalan serta menambah luang pasaran (outlet).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia termasuklah jualan langsung komoditi pertanian dan hasil tani terus kepada pengguna khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Katanya, melalui outlet-outlet ini rantaian pengedaran dapat dipendekkan selain risiko manipulasi pasaran oleh orang tengah dapat dikurangkan.

“Outlet-outlet yang dibangunkan termasuklah dengan kerjasama strategik usahawan peruncitan seperti Rural Transformation Centre (RTC), Pasar Tani Kekal (PTK), Pasar Tani, Gerai Buah-buahan Segar (GBBS), Motosikal Tiga Roda (M3R) dan MyFarm Outlet.

“Selain itu turut dibangunkan adalah My Best Buy, Agrobazaar Kedai Rakyat, AgroBazaar Rakyat (ABR), Agrobazaar K-Shoppe, dan Agrobazaar Online dan salah satu darinya adalah Medan Niaga Satok (MNS) sendiri. Secara keseluruhan terdapat 1,037 outlet-outlet ini diseluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke MNS di sini semalam bagi melihat sendiri aktiviti operasi usahawan di MNS.

MNS adalah projek usahasama antara FAMA dengan pihak Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Perumahan Sarawak.

Dr Ronald berkata, FAMA turut membangunkan infrastruktur pemasaran seperti Program Rural Transformation Centre (RTC), MyFarm Outlet, Pasar Tani dan Pasar Tani Kekal.

Katanya, pelbagai program dan aktiviti pemasaran serta jualan diadakan di sini seperti program MyRakyat, Jualan Terus dari Ladang sebagai inisiatif membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri akan berterusan bagi memastikan MNS akan terus memainkan peranan yang penting dalam pemasaran agromakanan di Sarawak,” katanya.

Kos asas projek adalah sebanyak RM46.6 juta dibina diatas tapak seluas 12.25 ekar di Jalan Matang Petra Jaya, Kuching.

MNS menyediakan 995 lot perniagaan di enam komponen utama iaitu di Blok B (Produk Basah), Blok C (Produk Kering), Blok D (Plaza), Blok E (Gerai Makanan/Minuman), Pasar Borong dan Pasar Minggu dengan jumlah peserta seramai 947 orang.

Pada tahun 2021, MNS mencatat nilai jualan sebanyak RM47.8 juta.

MNS telah menerima peruntukan sebanyak RM7 juta dari pihak Kerajaan Negeri Sarawak bagi kerja pembangunan dan naiktaraf seperti kerja pembinaan parking bertingkat, naik taraf di blok B, C dan D.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *