Program Ekasada SMJ Jadi Platform Jana Idea-Idea Baharu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU: Penganjuran Program Ekasada Sabah Maju Jaya menjadi platform untuk mengetengahkan penjanaan idea-idea baharu dan segar.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong berkata, penjanaan idea baharu dan segar merupakan nadi utama dalam merealisasikan matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Kadang-kadang apa yang kita rancang hanya berdasarkan kehendak atau kemahuan kita yang akhirnya tidak dapat memenuhi keperluan sebenar rakyat di lapangan.

“Oleh itu, kita perlu memastikan agar masyarakat sentiasa didekati dan didengari supaya kita dapat melaksanakan perancangan yang teratur seterusnya dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam.

“Melalui program ekadasa ini, kerajaan negeri tidak hanya membataskan perolehan input-input baharu daripada kalangan penjawat awam sahaja malah turut mengalu-alukan perolehan input dari pemegang-pemegang taruh yang lain termasuk ahli-ahli akademik dan juga warga belia,” katanya ketika berucap pada Majlis Epilog Ekasada Sabah Maju Jaya di Sabah International Convention Centre (SICC).

Dalam ucapannya, Safar turut mendedahkan pelbagai inisiatif berimpak tinggi telah dilaksanakan dan dicapai dalam tempoh setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya sejak dilancarkan pada 29 Mac 2021.

“Kita perlu terus komited bagi melakukan yang terbaik secara berterusan kerana kita sedar bahawa masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Justeru itu, kita semua akan terus bekerja sebagai satu pasukan dan bersedia pada bila-bila masa memberi komitmen yang tinggi untuk mencapai kecemerlangan demi Sabah Maju Jaya,” ujar beliau.

Pada majlis itu, Safar juga menerima rumusan Ekasada Sabah Maju Jaya daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Datu Rosmadi Bin Datu Sulai Datu Sulai.

Turut dihadiri Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian dan ketua-ketua jabatan kerajaan Negeri. – Penerangan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *