DBKK buka 16 lokasi bazar Ramadan sekitar Kota Kinabalu

Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) membuka sebanyak 16 lokasi Bazar Ramadan di sekitar bandar raya bermula petang ini sehingga 2 Mei depan dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata, semua lokasi bazar yang dibuka mula beroperasi bermula jam 2 petang sehingga 7 malam sepanjang bulan Ramadan.

Katanya, lokasi yang dibuka juga adalah melibatkan tapak pasar malam selain tapak letak kereta yang dijadikan sebagai lokasi sementara bazar.

“Antara lokasi bazar Ramadan yang dibuka adalah di Lintasan Deasoka (Jalan Gaya), Indah Permai, Sembulan, Tanjung Aru, Pasar Malam Inanam, Pasar Malam Inanam Point, Pasar Malam Manggatal dan Pasar Malam Kingfisher.

“Lokasi lain ialah di kawasan ‘boardwalk’ belakang Marriott Hotel Kota Kinabalu, kawasan University Apartment, Wisma Merdeka, Asia City, Taman Putera Jaya, Metro Town, Wawasan Plaza dan Bataras Kolombong,” katanya dalam kenyataan disini semalam.

Noorliza berkata, bazar Ramadan yang membabitkan tapak letak kereta dan laluan tertentu, penutupan kawasan dilakukan bermula jam 1 tengah hari hingga jam 7.30 malam.

Katanya, antara lokasi tapak letak kereta yang terbabit dengan pengoperasian bazar Ramadan ialah di Lintasan Deasoka (Jalan Gaya), hadapan pasar raya Bataras Indah Permai, Tanjung Aru, Sembulan, Pasar Malam Manggatal dan Pasar Malam Kingfisher.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan jalan alternatif lain bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan yang terbabit dengan penutupan jalan sementara ini.

“Peniaga, penganjur dan pengunjung Bazar Ramadan adalah diingatkan untuk mematuhi segala peraturan, syarat dan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Katanya, sebarang pelanggaran peraturan dan SOP boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.