Trend Jangkitan Stabil Di Sabah Adalah Usaha Semua Masyarakat – Masidi Manjun

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

Ranau – “Angka jangkitan baharu COVID-19 yang sedang dalam trend penstabilan adalah bukan semata-mata kerana keputusan yang diambil oleh saya sebagai Menteri yang bertanggungjawab sebagai Jurucakap COVID-19 Kerajaan Negeri Sabah, tetapi disebabkan oleh peranan segenap lapisan masyarakat yang sama-sama berganding-bahu dalam memastikan pelandaian angka ini dapat berlaku”.

Begitulah antara intipati ucapan yang disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun ketika merasmikan Majlis Perasmian Cawangan Bersatu, Jawatan Ketua Kampung & Kenduri Sambutan Bulan Ramadhan Kampung Lagkau yang bertempat di Mini Dewan Kampung Lagkau.

Ujar Masidi lagi, Sabah juga adalah antara negeri dengan jangkitan baharu yang terendah di negara ini.

Dalam majlis itu, Masidi yang juga merupakan ADUN bagi kawasan Karanaan mengumumkan insentif berupa RM10,000 bagi 5 buah kampung terawal yang mana penduduknya mencapai 100% vaksinasi lengkap dengan dos penggalak dan juga 5 buah sekolah rendah yang mencapai 100% murid telah divaksin khusus untuk DUN Karanaan.

Insentif tersebut adalah merupakan usaha daripada wakil rakyat berkenaan untuk menggalakkan orang ramai untuk mengambil vaksin dan tidak mempercayai hasutan daripada segelintir pihak yang cuba untuk menggagalkan program vaksinasi kerajaan.

“Lebih daripada 98% secara purata mereka yang dijangkiti hanya berada dalam Kategori 1 & 2. Statistik ini hanya tercapai setelah hampir seluruh penduduk negeri ini telah memperoleh vaksin”.

Dalam pada itu, Masidi juga turut menyampaikan sumbangan berupa RM50,000 kepada JPKK Kampung Lagkau bagi tujuan baikpulih dan selenggara jalanraya yang rosak ekoran fenomena cuaca yang tidak menentu baru-baru ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Amisah Yassin, ADUN Dilantik, KD Muhasip Hj Ruman, Ketua Daerah Ranau, Taip Ahmat, Ketua Kampung Lagkau, pemimpin-pemimpin masyarakat dan juga penduduk kampung.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *