HomeIsu tempatanGembira,sebak dapat solat tarawih berjemaah di masjid selepas dua tahun

Gembira,sebak dapat solat tarawih berjemaah di masjid selepas dua tahun

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA BELUD : Rata-rata umat Islam khususnya di negeri ini meluahkan rasa syukur apabila kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) dengan membenarkan solat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau.

Mereka turut gembira dan sebak apabila dapat kembali menunaikan solat sunat tersebut secara berjemaah di masjid setelah dua tahun melaksanakannya di rumah sahaja bersama keluarga.

Tinjauan Sabah Media di Masjid Nurul Ehsan Kampung Taun Gusi Padang Kota Belud disini mendapati rumah ibadat itu kembali meriah dengan kehadiran umat Islam untuk menunaikan solat tarawih dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah lain.

Bagi seorang jemaah Dzulirwan Rashkin berkata, kebenaran itu merupakan suatu yang dinantikan oleh semua jemaah di seluh negara termasuk di masjid berkenaan.

“Pertama sekali saya rasa bersyukur selepas dua tahun tidak dapat berjemaah.  Mungkin ini satu-satunya yang dinantikan rakyat di Malaysia termasuk jemaah di kampung ini dimana SOP telah dilonggarkan dengan merapatkan sejarah.

“Bagaimanapun kita tidak lalai, perlulah sentiasa mengamalkan SOP seperti mana yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya kepada Sabah Media disini semalam.

Beliau turut mendoakan agar negara terus pulih dari wabak COVID-19.

Bagi mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk Datuk Musbah Jamli turut berkongsi rasa gembira apabila dapat menunaikan solat sunat bersama penduduk setempat.

“Tahun ini agak berbeza dimana kita dapat berjemaah di masjid selepas hampir dua tahun kita berjemaah di rumah bersama keluarga ekoran pandemik COVID-19.

“Saya dan juga jemaah lain rasa bersyukur.  Alhamdullilah pada hari ini (semalam) semua jemaah turut mematuhi SOP yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, bagi jemaah di masjid sama Masniah Undang mengakui kebenaran untuk menunaikan solat sunat tarawih itu merupakan satu perkara yang dirindui apabila dapat berjemaah dengan penduduk kampung yang lain.

“Dapat berjemaah beramai-ramai di masjid membuatkan saya rasa semangat.  Walaupun banyak persiapan yang dibuat di rumah, tetapi saya istimewakan malam ini (semalam) hadir ke masjid bersama jemaah lain.

“Alhamdulilah ini suatu yang bersejarah.  Syukur diruangan bahagian jemaah lelaki juga penuh, begitu juga di bahagian jemaah wanita turut penuh,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular