HomeIsu tempatanPerkukuh silaturrahim, perpaduan di bulan Ramadan - Arifin

Perkukuh silaturrahim, perpaduan di bulan Ramadan – Arifin

Read Time:1 Minute, 47 Second

MEMBAKUT : Umat Islam khususnya di negeri ini disaran untuk terus memanfaatkan bulan Ramadan dengan memperkukuh silaturahim dan perpaduan.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bulan mulia ini juga seharusnya dijadikan peluang untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan, kejiranan dan kemasyarakatan.

“Manfaatkan Ramadan ini untuk meningkatkan amalan masing-masing kerana Ramadan adalah bulan untuk kita meraih sebanyak mungkin pahala dan ganjaran.

“Di samping itu, gunakanlah ruang ini untuk menambah ilmu pengetahuan dengan membaca, mendengar dan menghayati Al-Quran,” katanya dalam Program Sumbangan Kurma Sempena Bulan Ramadhan 1443H/2022 disini semalam.

Mohd Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, umat Islam turut digesa agar mengimarahkan masjid dan surau bersama ahli keluarga dan komuniti setempat sepanjang Ramadan.

“Kita sudah pun diberikan kelonggaran untuk solat berjemaah di masjid dan surau, jadi manfaatkanlah sebaik-baiknya terutama pada bulan ramadan ini,” katanya.

Pada majlis itu, Arifin menyampaikan set cenderahati Ramadan berupa kurma, sejadah mini dan buku kecil Yassin kepada lebih 4,000 buah rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut melalui agihan oleh 35 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan satu Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar  (JKDB).

Sementara itu, Pengerusi JKDB Pekan Membakut, Chia Moi Fah, 52, berbangga dengan keakraban keluarga Malaysia di kawasannya yang tetap berkongsi kemeriahan setiap perayaan tanpa mengira kaum.

“Sebagai orang berbangsa Cina yang hidup dengan majoriti penduduk muslim berjumlah 252 orang, saya sangat berbangga. Kalau Tahun Baharu Cina, mereka (muslim) akan turut raikan kami, bila hari raya kami pula yang akan berkunjung ke rumah mereka,” katanya.

Manakala, Pengerusi JPKK Kampung Binsulok, Misiran Ismail, yang menerima 520 set cenderahati untuk agihan setiap keluarga di kampung berkenaan berharap warganya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Bagi pihak warga Binsulok, saya mengucapkan terima kasih dengan sumbangan ini dan berharap warga di kampung saya supaya tetap mematuhi SOP demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Bagi Pengerusi JPKK, Mohd Daud Teo Abdullah, 49, Kampung Jambatan Baru Membakut yang menerima 157 set cenderahati untuk diagihkan berasa lega dengan kelonggaran solat jemaah di surau dan masjid setelah lebih dua tahun akibat pandemik COVID-19.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular