Bazar Ramadan di Sabah kembali meriah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU : Bazar Ramadan di beberapa kawasan sekitar bandar raya Kota Kinabalu,Putatan dan Kota Belud sempena hari pertama Ramadan kembali meriah dengan kehadiran pengunjung hari ini.

Rata-rata pengunjung tidak mahu melepaskan peluang untuk meninjau makanan dan minuman di bazar Ramadan selepas dua tahun tidak dapat ke bazar berikutan pandemik COVID-19.

Antara bazar Ramadan yang sering mendapat sambutan luar biasa adalah di Bazar Ramadan Asia City; Bazar Ramadan Lintasan Deasoka dan Bazar Ramadan Sembulan berikutan gerai yang banyak serta kelainan menu di lokasi berkenaan.

Tinjauan mendapati, seawal jam 3 petang orang ramai sudah mula mengunjungi bazar Ramadan berkenaan meskipun dalam cuaca mendung, para pengunjung tetap datang untuk mencari juadah kegemaran untuk berbuka puasa.

Bagi pengunjung Noor Fazila Riani Abd Majid mengakui kali pertama merasai kemeriahan bazar Ramadan di Kota Kinabalu selepas hampir dua tahun tiada pengoperasian bazar akibat COVID-19.

“Sebelum ini saya bekerja di Semenanjung beberapa tahun selain di Sydney hampir dua tahun dan kembali ke kampung di Lahad Datu pada awal Jun 2019.  Selepas itu, saya ke Kota Kinabalu untuk bekerja sehinggalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal 2020.

Noor Fazila Riani Abd Majid ketika membeli juadah berbuka di bazar Ramadan Asia City

“Jadi, inilah pengalaman pertama saya merasai bazar Ramadan di Kota Kinabalu, namun saya terkejut bila mana kehadiran pengunjung agak berbeza berbanding sebelum ini ketika saya berada di Semenanjung,”katanya.

Meskipun rasa teruja namun Noor Fazila meluahkan rasa sedih apabila sebilangan peniaga turut mengenakan harga jualan pada kadar yang tinggi.

Sementara itu di Putatan, beberapa kawasan yang menjadi lokasi bazar turut menjadi tumpuan pengunjung dengan menghidangkan beberapa juadah berbuka puasa.

Bagi pengunjung Siti Zaleen Yussof mengakui sangat teruja apabila dapat membeli pelbagai juadah berbuka puasa di bazar Ramadan berbanding sebelum ini yang hanya memasak dirumah berikutan COVID-19.

“Secara peribadi, saya gembira dapat melihat dan memilih pelbagai juadah yang ada di bazar kerana tahun-tahun sebelum ini saya hanya memasak di rumah untuk keluarga.

“Selain memasak juadah sendiri, ada juga yang saya beli secara online namun kemeriahan untuk turun ke bazar itu amat berbeza,”katanya kepada Sabah Media disini hari in.

Zaleen yang membeli juadah di bazar Ramadan Dewan Sri Putatan disini turut berharap agar pengoperasian bazar akan terus kekal selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga perlu terus dipatuhi.

Kemeriahan sama turut dirasai di bazar Ramadan Kota Belud yang terletak di perkarangan Majlis Daerah Kota Belud.

Bagi Rick Laham Rudin merakamkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan yang telah melonggarkan SOP termasuklah membenarkan bazar Ramadan dibuka.

Rick Laham Rudin

“Syukur Alhamdulilah kerana kita dapat merasai kembali perasaan berada di bazar Ramadan.     Terima kasih kepada kerajaan yang telah membenarkan operasi sedemikian.

“Ini satu kejayaan bagi kita lebih-lebih lagi di bulan Ramadan. Para peniaga juga boleh menambah pendapatan dan masyarakat boleh bersilaturrahim dengan rakan-rakan, ini suatu yang kita rindui,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *