‘Sungkai’ awal, umat Islam wajib ganti puasa

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Umat Islam khususnya yang berada di daerah Tawau yang berbuka puasa lebih awal semalam selepas mengikut azan di salah sebuah stesen radio tempatan adalah diwajibkan untuk menggantikan puasa setelah berakhir Ramadan.

Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, waktu berbuka puasa adalah bersandarkan kepada terbenamnya matahari berdasarkan nas syarak dan bukannya bersandarkan kepada laungan azan di radio.

“Pada dasarnya, di sisi syarak, puasa bagi mereka yang berbuka puasa awal daripada waktu sebenar kerana mengikut azan di radio adalah dikira terbatal dan wajib ke atas mereka menggantikan puasa mereka itu setelah berakhirnya bulan Ramadhan.

“Waktu berbuka puasa adalah bersandarkan kepada terbenamnya matahari berdasarkan nas syarak dan bukannya bersandarkan kepada laungan azan di radio atau seumpamanya serta keadaan langit pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Bungsu berkata, usaha pihak radio mengumandangkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka merupakan usaha murni yang sangat baik.

Namun katanya, pihak radio perlulah lebih teliti dan cermat dalam isu berkenaan bagi mengelakkan daripada berulang perbuatan mengumandangkan azan awal dari waktunya pada masa akan datang.

“Umat Islam hendaklah sentiasa cermat dan berhati-hati berkaitan waktu berbuka puasa.

“Sehubungan itu, adalah disarankan kepada umat Islam agar merujuk kepada takwim berbuka puasa yang telah dikeluarkan oleh pihak yang berautoriti demi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang

Semalam, seorang penyampai radio di sebuah stesen radio tempatan di Tawau tampil memohon maaf menerusi kenyataan di laman sosial Facebook selepas tersilap menyiarkan azan Maghrib empat minit sebelum waktu sepatutnya.

Penyampai radio berkenaan mengakui tersilap selepas menyiarkan azan sebanyak dua kali iaitu pada jam 6.16 dan 6.20 petang.

Difahamkan kesilapan itu adalah berpunca dari kesilapan teknikal dan kesalahan dirinya sendiri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *