HomeIsu tempatanInisiatif MySTEP, 90 Graduan Sabah diambil bekerja

Inisiatif MySTEP, 90 Graduan Sabah diambil bekerja

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU : Seramai 90 graduan universiti awam menamatkan program Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP) yang dilaksanakan syarikat Britay Asia (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pengarah PKPKP UMS, Dr Soon Singh Bikar Sing berkata, program tersebut dilaksanakan selama dua minggu membabitkan peserta dari seluruh daerah Sabah.

“Para peserta terdiri daripada graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan graduan UMS sendiri.

“Kesemua peserta akan bekerja dengan pihak industri yang mana pembayaran gaji enam bulan pertama dibuat melalui syarikat Britay Asia (M) Sdn. Bhd,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis tamat latihan program MySTep Britay  @UMS 2022, di Auditorium Pascasiswzah, di sini, baru-baru ini.

Majlis perasmiannya disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin. Hadir sama, Pengarah Urusan Britay, Zuber Mohd Isa.

Menurut Soon, sudah pasti para graduan akan memperoleh pengalaman berharga dan pendedahan dalam pekerjaan dengan pihak industri.

“Mereka juga akan berpotensi diserap dan bekerja terus dengan pihak industri,” katanya.

Dalam pada itu, Taufiq dalam ucapannya berkata, MySTEP merupakan salah satu program Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik.

“Saya percaya program ini bukan sahaja akan menjamin penempatan pekerjaan kepada peserta, bahkan sepanjang 14 hari pelbagai pengisian seperti latihan kemahiran insaniah, taklimat industri dan sesi temu duga dijalankan melibatkan hampir 40 industri.

“Kepada semua peserta, perjalanan kerjaya anda telah pun bermula. Harungilah dengan penuh dedikasi, semangat dan keikhlasan. Jangan pernah berasa ragu dengan potensi diri,” katanya.

Terdahulu, Zuber dalam ucapan aluannya memaklumkan program MySTEP diperkenalkan untuk menangani pengangguran, meningkatkan kebolehpasaran dan merangsang pemulihan ekonomi domestik.

“Program ini ditaja oleh Khazanah Nasional. Di pihak Britay Asia pula, kita diberi tanggungjawab sebagai pengurus pelaksana.

“Kerjasama penganjuran bersama UMS ini merupakan yang julung kalinya diadakan di Sabah,” ujar beliau yang turut mengumumkan gaji ditawarkan kepada peserta sebanyak RM2,150 sebulan.

Untuk rekod, pihak industri yang terlibat dalam program itu termasuklah Golden Borneo Centre Sdn Bhd, Glopec Sdn Bhd, Kuo Dental Sdn Bhd, JMD Group, Sri Jutaya Sdn Bhd, Astana Hotel, Ezytape Sdn Bhd, Topaz Travel d Borneo Sdn Bhd, Mina Trading, VE AutoCool PLT, dan Institusi Kecantikkan NUVIS Sabah.

Ia membabit peruntukkan tajaan sebanyak RM1.4 juta daripada Khazanah Nasional.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

30 kakitangan, pelajar UMS bakal tawan puncak Gunung Kinabalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular