KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mahu para pemainnya terus mengekalkan prestasi cemerlang apabila menentang Sarawak United FC di Stadium Negeri Kuching pada Ahad ini.
Katanya, beliau gembira apabila semua pemain dapat mengekalkan prestasi terbaik selain mencipta kemenangan di gelanggang lawan malam tadi menewaskan Melaka FC 1-0 di Stadium Hang Jebat.
Menurutnya, meskipun mengharungi perlawanan dalam bulan Ramadan namun mereka masih dapat menunjukkan mutu permainan yang berkualiti tinggi.
“Pertama saya ingin lihat tahap kecergasan pemain selepas perlawanan malam tadi. Kita masih mempunyai baki empat hari sebelum menentang pasukan Sarawak United disamping memikirkan faktor penerbangan yang menyebabkan pemain akan mengalami keletihan.
“Mereka berpuasa pada siang hari tetapi tetap memberikan sepenuh komitmen. Ini penting untuk kita meneruskan rentak mencapai keputusan positif ketika bertemu Sarawak atau mana-mana perlawanan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan menentang Melaka United FC malam tadi.
Mengulas mengenai tahap kecergasan pemain Sabah FC Kim Swee berkata, ketika ini beliau memiliki 25 pemain bersedia menggalas tugas untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama sekiranya beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan akibat faktor kecerderaan.
“Apa yang penting mereka harus bersiap sedia serta mengekalkan tahap kecergasan ketika berpuasa. Faktor mengamalkan permakanan juga perlu diutamakan kerana jika tidak, sudah tentu akan mengganggu tahap persembahan untuk bermain dalam tempoh selama 90 minit,” katanya.
Mengulas mengenai pertemuan malam tadi Kim Swee berkata, beliau berpuashati sambil memuji komitmen tinggi anak buahnya apabila berjaya mengutip tiga mata pertama ketika bermain di laman lawan.
“Kita tahu pasukan Melaka United FC adalah satu pasukan yang baik sekali gus dapat dilihat pada separuh masa pertama mereka sentiasa memberi tekanan. Pada masa sama Sabah FC juga melepaskan beberapa peluang keemasan namun tidak berjaya disempurnakan sehingga keadaan itu berlarutan sehingga separuh masa kedua,” katanya.
Pada separuh masa pertama dan kedua, Melaka United FC seringkali melakukan penggantian beberapa pemain sekali gus memperlihatkan pasukan tuan rumah memberikan satu tentangan cukup sengit dalam pertemuan malam tadi.
“Kita menurunkan lima pemain import…Secara keseluruhan ini bukan melibatkan secara individu kerana fokus utama adalah untuk melihatkan kita berjaya menewaskan pasukan Melaka ketika mereka memerlukan kemenangan pertama di laman sendiri,” katanya.
Secara keseluruhan Kim Swee berpuas hati kepada tahap mutu persembahan anak buahnya kerana menunjukkan semangat kerja secara berpasukan selain turut mempamerkan kualiti pada tahap yang sangat memberangsangkan.
“Secara keseluruhan semua pemain sudah melakukan tugas yang diarahkan selain beberapa pemain lain juga dilihat memberikan persembahan ataupun komitmen sangat baik.
“Kita percaya di dalam bola sepak bukan hanya bergantung kepada satu atau dua orang…Malah untuk memenangkan pasukan, komitmen semua pemain sangat dituntut sekali gus menuntut mereka untuk bersiap sedia mencapai keputusan positif menentang Sarawak United pada 10 April ini nanti,” katanya.