HomeUtamaPromosi Sabah Melalui Industri Perfileman

Promosi Sabah Melalui Industri Perfileman

Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Pihak Lembaga Pelancongan Sabah memuji usaha pembikin filem tempatan mempromosikan negeri dan destinasi luar bandar dalam karya mereka.

Pada Rabu, rombongan yang diketuai penerbit filem Chester Pang bertemu dengan pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, untuk membincangkan potensi pelancongan filem di negeri itu.

Rombongan itu juga membincangkan perancangan mereka untuk mempamerkan daya tarikan Sabah melalui filem dan pembikinan video promosi yang mampu menarik minat orang ramai melawat Sabah.

Antara karya tersebut ialah video pendek ‘Discover Kiulu’ dan filem komedi dalam bahasa Mandarin ‘Craze Below The Wind’.

“Ini adalah usaha yang baik untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pelbagai tarikan yang ada di Sabah, dan merangsang rasa ingin tahu mereka terhadap negeri ini,” kata Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

“Kiulu, sebagai contoh, telah dipilih oleh Kerajaan Negeri sebagai model pelancongan luar bandar. Tidak lama lagi Kiulu akan mempunyai pusat informasi pelancongan, di mana klip video seperti ini boleh dipaparkan.

“Kita juga berharap agar destinasi-destinasi lain menjadi inspirasi para pembikin filem untuk dipaparkan dalam karya produksi filem. Kebanyakan produk luar bandar adalah hampir sama. Oleh itu, pembikin filem juga harus mencari tarikan baharu untuk ditonjolkan,” tambahnya.

Sebagai sebahagian daripada Borneo, Joniston berkata Sabah perlu membezakan dirinya daripada Sarawak dan Kalimantan, di mana pembangunan ibu negara baru Nusantara sedang dilaksanakan.

Tambah beliau, Lembaga Pelancongan Sabah sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan penerbit filem tempatan untuk mempromosikan elemen and aspek pelancongan Sabah tersendiri.

Turut hadir pada pertemuan itu adalah penerbit dan pengarah Froggy Planet, Katak Chua, timbalan presiden Persatuan Pelancongan Kiulu Lasmen Lopuk, wakil Pro-Merge Vision, dan pengarah filem tempatan Ramli Carlo.

Penggambaran untuk ‘Discover Kiulu’ dijangka siap pada penghujung bulan ini, kata Chester, yang merupakan penerbit dari Can Bah Production.

Katanya, video promosi berdurasi 90 saat itu juga bakal dipaparkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Bagi filem ‘Craze Below The Wind’ yang berdurasi 90 minit, ia bakal ditayangkan pada bulan Mei.

Diterbitkan oleh Can Bah Production, ‘Craze Below The Wind’ mengisahkan tentang dua beradik yang berdepan dengan masalah dan terpaksa mengembara ke seluruh Sabah dengan membawa beg pakaian misteri.

Chester berkata bahawa filem itu, yang ditangguh sejak 2020 akibat pandemik, akan ditayangkan di 53 pawagam, termasuk di Brunei.

Sementara itu, Katak berkata filem tersebut telah mendapat sambutan positif semasa ujian tayangan, dengan tujuh daripada 10 responden menyatakan minat untuk melawat Sabah.

“Pembikinan filem itu melibatkan seramai 52 krew, dan 80 peratus daripada mereka adalah rakyat Sabah. Kami mahu mempromosikan pelancongan melalui industri perfileman kerana ia boleh memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Kami berharap Lembaga Pelancongan Sabah dapat bekerjasama dengan pembikin filem untuk menjayakan industri pelancongan filem di negeri ini,” kata pengarah filem itu.

RELATED ARTICLES
Utama

Warga emas ditemui lemas semasa memukat di pantai Kuala Putatan 2

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya