HomeIsu tempatanOHIDAS Wellness Toolkit bantu warga Sabah dapat khidmat nasihat kesihatan

OHIDAS Wellness Toolkit bantu warga Sabah dapat khidmat nasihat kesihatan

Read Time:2 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Hospital UMS berjaya membangunkan sebuah aplikasi iaitu ‘OHIDAS Wellness Toolkit’ yang merupakan inovasi berasaskan konsultasi kesihatan bagi membantu warga Sabah mendapat nasihat kesihatan.

Naib Cancelor UMS Profesor Datuk Chm. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, khidmat nasihat kesihatan melalui ‘telemedicine’ itu boleh dibuat terus daripada pakar perubatan dalam kalangan Pegawai Perubatan di Hospital UMS.

Katanya, aplikasi itu juga dihasilkan bertujuan untuk mendekatkan komuniti penduduk negeri khasnya luar bandar dengan perkhidmatan serta nasihat kesihatan.

“Usaha ini dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti kesihatan kepada penduduk luar bandar di Sabah.

“Objektif utama penghasilan aplikasi ini adalah untuk mempromosikan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti serta membantu usaha saringan awal kesihatan kepada komuniti dalam mendepani masalah kesihatan khususnya berkaitan ‘non-communicable disease’ seperti kencing manis, darah tinggi, barah dan lain-lain lagi.

“Penghasilannya juga bertunjangkan lima nilai teras utama yang diamalkan oleh Hospital UMS iaitu innovative, compassionate, collaborative, empowering dan sustainable,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Aplikasi OHIDAS Wellness Toolkit di Galeri Majlis Aras Tiga, Bangunan Canselori UMS disini semalam.

Hadir sama Pengarah Hospital UMS Profesor Dr. Helen Benedict Lasimbang.

Taufiq berkata, pendekatan utama yang diterapkan dalam aplikasi ini adalah promosi kesihatan dan pencegahan penyakit, penjagaan kesihatan secara berterusan dan konsisten serta penjagaan kesihatan dari rumah di peringkat komuniti.

“Saya yakin dalam jangka masa yang singkat, penduduk luar bandar akan menerima pelbagai manfaat melalui penggunaan aktif dan konsistensi aplikasi ini.

“Saya percaya interaksi yang wujud dalam kalangan warga Hospital UMS  dengan komuniti setempat melalui Program KPT Prihatin (KRISS) akan menjadi wadah dan penghubung di antara masyarakat dengan UMS,” katanya.

Sementara itu, Taufiq berharap usaha murni menerusi aplikasi itu akan membuahkan hasil dan memberi impak positif kepada seluruh komuniti luar bandar serta secara tidak langsung mampu menaikkan nama Hospital UMS ke seluruh negara.

“Saya berdoa semoga warga Hospital UMS dilapangkan fikiran dan dipermudahkan segala urusan agar dapat menghasilkan lebih banyak inovasi yang mampu membantu komuniti khususnya di Sabah,” katanya.

OHIDAS Wellness Toolkit tersedia untuk peranti Android dan iOS. Perkataan ‘ohidas’ merupakan bahasa Kadazan, yang memberi maksud “kesihatan”.

Nama tersebut turut mewakili fungsi aplikasi yang membolehkan pengguna merekod kesihatan, ubatan dan alergi.

OHIDAS juga menyediakan diari untuk menjejak data kesihatan peribadi, selain boleh merekod pelan penjagaan diri dari segi kesihatan fizikal dan mental.

Sekiranya berlaku kecemasan, OHIDAS dapat digunakan untuk mencari alamat hospital terdekat melalui perkhidmatan GPS. Idea pelaksanaan aplikasi ini adalah untuk memudahkan pengguna untuk berhubung dengan doktor atau keluarga mereka dalam memantau kesihatan mereka.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PSI Universiti Oxford, UMS catat sejarah jalin kerjasama dalam penyelidikan pandemik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular