HomeUtamaMAFI,MAF meterai tiga MOU berhubung sektor agromakanan di Sabah

MAFI,MAF meterai tiga MOU berhubung sektor agromakanan di Sabah

Read Time:2 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Pertanian dan Perikanan (MAF) Sabah hari ini memeterai tiga memorandum persefahaman (MOU) berhubung sektor agromakanan khususnya di negeri ini.

Pemeteraian MOU itu turut disaksikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan.

Antara MOU yang ditandatangani adalah mengenai kerjasama untuk mengembangkan industri nanas di Sabah melalui kerjasama strategik antara MAFI, MAF Sabah dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) untuk meningkatkan sektor pertanian dan membantu petani dan pengusaha di negeri ini.

Dr Ronald berkata, menerusi MOU itu, pihaknya berharap agar industri nanas di Sabah akan terus berkembang dari segi peningkatan pendapatan serta peluang pekerjaan didalam setiap komponen rantaian nilai industri nanas.

Katanya, projek usahasama bagi tujuan pembangunan industri nanas di Sabah antara MAFI, LPNM dan MAF akan dinamakan sebagai Projek Perintis Pembangunan Industri Nanas Negeri Sabah.

Menurutnya, projek itu adalah untuk menggalakkan pembangunan dan pengeluaran nanas di Sabah menerusi teknologi dan kaedah yang terkini.

“Sebanyak RM1 juta diperuntukkan pada tahun 2022 oleh MAFI menerusi LPNM bagi projek tersebut.

“Pada tahun 2020, keluasan bertanam nanas adalah seluas 17,228 hektar bersamaan 9.5 peratus daripada keseluruhan keluasan tanaman buah-buahan di Malaysia.

“Kawasan tanaman nanas tertumpu di selatan Semenanjung Malaysia dan Sabah merupakan negeri ketiga pengeluar utama nanas dan menyumbang kepada 6.1 peratus keluasan nanas di Malaysia,” katanya.

Turut dimeterai, MOU di antara Agrobank dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) bagi mewujudkan kerjasama strategik dalam aktiviti pelaburan dan meningkatkan sinergi antara dua organisasi dibawah MAFI dan MAFS dalam membangunkan Sabah Agroindustrial Presinct (SAIP).

SAIP merupakan sebuah presint teknologi yang berfungsi sebagai platform untuk pembangunan Industri asas tani yang memberi tumpuan kepada pembangunan agromakanan dan tanaman khusus/produk semulajadi didorong oleh inovasi pemprosesan teknologi dan R&D di kawasan seluas 215 ekar terletak di Kimanis Papar.

Pada majlis itu juga, Dr Ronald dan Dr Jeffrey turut menyaksikan pemeteraian MOU yang bertujuan untuk memperkukuh, menggalakkan dan mengadakan kerjasama dalam bidang pembangunan usahawan produk berasaskan tomato melalui perundingan khidmat nasihat teknikal pembangunan kilang dan teknologi pemprosesan.

MOU ini ditandatangani di antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Syarikat Karkun Sdn Bhd.

Bidang kerjasama umum di antara MARDI dan Karkun Sdn Bhd di bawah MOU ini merangkumi khidmat nasihat teknikal berkaitan pembangunan kilang pemprosesan tomato dan pembangunan usahawan melalui penggunaan teknologi MARDI. 

Kerjasama strategik ini akan meningkatkan ekonomi komuniti setempat dengan pembangunan kilang pemprosesan produk berasaskan tomato selain turut mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar.

Dalam pada itu, Dr Ronald berkata, MAFI akan terus menumpukan usaha bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan negara melalui pelbagai usahasama strategik bersama Kerajaan Negeri serta agensi dibawahnya demi menjamin sekuriti makanan.

Katanya, selain itu ianya akan dapat membantu petani dan pengusaha agromakanan bagi mendapatkan hasil pertanian segar berteknologi tinggi untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran tanaman dan pemprosesan makanan melalui aplikasi teknologi terkini.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan kerjasama strategik dan MOU ini melengkapkan visi kementerian selaku peneraju sektor pertanian dalam usaha mentransformasikan sektor pertanian supaya menjadi sektor yang moden dan dinamik.

“Ini juga adalah untuk merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia lebih kompetitif sebagai pengeluar utama makanan dunia sekaligus menjadikan sektor pertanian dan agromakanan sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular