HomeIsu tempatanBusana asas,asli Suang Lotud perlu diberi fokus utama - Dee Layun

Busana asas,asli Suang Lotud perlu diberi fokus utama – Dee Layun

Read Time:2 Minute, 12 Second

TUARAN : Peragaan busana asas dan asli Suang Lotud perlu diberi fokus utama pada pertandingan Unduk Ngadau sempena Pesta Kaamatan peringkat daerah Tuaran pada tahun ini.

Perkara itu disuarakan oleh seorang penggiat seni, budaya dan tradisi Suang Lotud, Dee Layun yang mempunyai pengalaman hampir 25 tahun menjadi juruandam selain pernah menjadi juri dipelbagai peringkat.

Dee berkata, pihak penganjur juga perlu memberi fokus kepada dandanan rambut sinulug kiginuli/ sinungkok agar dapat menyerlahkan lagi citra sumandak Suang Lotud yang asli.

“Sudah tiba masanya untuk kita menjaga dan memartabatkan keaslian pakaian Suang Lotud yakni merujuk kepada pakaian asas Suang Lotud yang tidak dimodenisasikan dengan manik bergemerlapan untuk dipakai semasa pertandingan akhir Unduk Ngadau tidak kira peringkat daerah mahupun negeri.

Penggiat seni, budaya dan tradisi Suang Lotud, Dee Layun

“Selain pakaian asas, ia juga perlu dipadankan dengan gaya dandanan rambut yang dikenali sebagai sinulug kiginuli / sinungkok yang merupakan sanggul simpul Suang Lotud sejak dahulu lagi,” katanya dalam kenyataan disini kelmarin.

Beliau berkata, meskipun berada di era globalisasi yang dipacu dengan arus kemodenan namun tidak semua perkara itu harus dimodenkan.

Katanya, bagi memartabatkan busana ini, ia bukan hanya berfokus kepada keaslian busana tetapi tatacara dan tertib pemakaian juga wajar dititikberatkan oleh semua pihak kerana ada segelintir yang memperlekehkan tatacara dan tertib pemakaian busana Suang Lotud ini.

“Bila kita tidak mempunyai ilmu dan tidak pasti akan sesuatu perkara maka wajar kita mencari pakar rujuk atau bahan yang boleh dijadikan rujukan supaya kita tidak melakukan kesilapan malah dapat mempelajari dan memiliki ilmu yang akan sebati dalam diri kita sebagai anak jati Suang Lotud.

“Saya percaya Muzium Lotud di Tuaran juga mempunyai panduan akan tatacara serta tertib pemakaian busana Suang Lotud yang betul kerana sebelum ini bengkel pemurnian tatacara pemakaian busana Suang Lotud telah diadakan.

“Bengkel itu turut disertai oleh Ketua Tantagas, para pemimpin Suang Lotud dan orang perseorangan dan hasil bengkel tersebut telah dibukukan dan dimeterai sebagai bahan rujukan rasmi kepada tatacara pemakaian busana Suang Lotud,” katanya.

Sementara itu, Dee berharap pertandingan Unduk Ngadau ini dijadikan platform kepada pemerkasaan busana etnik Suang Lotud serta meningkatkan penguasaan bahasa ibunda dengan mengambil inisiatif untuk mengasah serta membiasakan diri untuk bertutur dalam bahasa ibunda Suang Lotud.

“Sebagai anak jati Suang Lotud, saya tidak mahu melihat suatu hari nanti hanya dokumentasi sahaja yang tinggal untuk rujukan anak bangsa.

“Kalau bukan sekarang bila lagi dan kalau bukan Suang Lotud sendiri siapa lagi yang patut mengambil berat dan memainkan peranan dalam usaha menjaga dan memelihara budaya, adat resam dan bahasa Suang Lotud demi kelangsungan anak bangsa akan datang.

“Seni,budaya dan tradisi tidak wajar diubahsuai dan dimodenkan malah sewajarnya dipelihara dan diangkat martabatnya agar nilai estetika dan identiti Suang Lotud sentiasa gah dan merelang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya