KPMKR komited budayakan nilai integriti dalam kalangan kakitangan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) komited untuk membudayakan nilai integriti dalam  kalangan warga kementerian sebagai usaha bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatannya.

Menterinya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata pembudayaan ini memerlukan komitmen dari semua jabatan dan agensi dibawahnya.

“Kementerian telah menyemak semula Buku Pelan Antirasuah KPMKR selari dengan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 dengan menstrukturkan semula bidang keutamaan dan memasukkan inisiatif-inisiatif baharu bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan.

“Beberapa pengisian program telah dirancang bertujuan memberikan pendedahan dan pengetahuan mengenai integriti kepada seluruh warga kerja Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Minggu Integriti Peringkat Kementerian bagi Tahun 2022 dan Pelancaran Buku Pelan Antirasuah (Semakan Semula) 2022-2026 di pejabatnya disini hari ini.

Shahelmey berkata, komitmen jabatan dan agensi serta seluruh warga KPMKR adalah amat diharapkan agar program-program dapat dilaksanakan dengan berkesan serta mencapai sasaran kementerian untuk menyebarluaskan program integriti kepada semua kumpulan sasar.

Katanya, beliau percaya langkah menyemak semula Pelan Antirasuah KPMKR itu akan membawa keberkesanan kepada usaha perancangan, pelaksanaan dan pemantauan nilai integriti di Kementerian tersebut.

“Saya percaya dengan inisiatif melaksanakan penilaian dan semakan semula terhadap risiko-risiko rasuah yang tersenarai, maka perancangan, pelaksanaan, serta pemantauan akan lebih berkesan, berintegriti serta bebas rasuah.

“Saya menyeru kepada semua warga KPMKR, jabatan dan agensi agar bersama-sama berganding bahu bekerja sebagai satu pasukan untuk merakyatkan perkhidmatan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *