Polis,MUIS perkukuh kerjasama untuk kesejahteraan ummah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Kerjasama erat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) akan terus diperkukuh demi kesejahteraan ummah.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, menerusi kerjasama itu, isu melibatkan penyelewengan akidah mampu diatasi seterusnya dibendung dengan baik.

“Selain menjadi benteng terkuat untuk keamanan negara, pihak polis juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi MUIS yang turut membantu membanteras ajaran sesat dan juga menyelesaikan isu-isu yang berhubung dengan penyelewengan akidah.

“Melihat kepentingan ini, Ketua Menteri telah mewujudkan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah pada tahun lalu yang terdiri dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), MUIS, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Masjid Nur Islam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, disini semalam.

Mohd Arifin berkata, agensi yang terlibat akan berperanan membantu ke arah kesejahteraan ummah melalui mesyuarat tiga bulan sekali yang membincangkan hal-hal yang berhubung dengan agama Islam.

Katanya, pihaknya turut bersyukur kerana Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sangat prihatin terhadap perkara berkenaan.

Pada lawatan ke masjid itu, Mohd Arifin turut menyaksikan penyampaian sumbangan MUIS berjumlah RM100,000 kepada Bahagian Agama Dan Kaunseling (BAKA) IPK Sabah serta RM10,000 bagi pengurusan masjid tersebut.

Turut memberikan sumbangan adalah Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah berjumlah RM 3,000 kepada pihak pengurusan masjid.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Deputi Komisioner Polis Datuk Jauteh Dikun yang ditemui melahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diterima dan berharap agar kerjasama yang terjalin terus diperkukuh.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MUIS, Ustaz Malai Ali Malai Ahmad, Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sabah, SAC Sapii Ahmad, Setiausaha Kementerian Tugas-Tugas Khas Menteri, Di Jabatan Ketua Menteri, Sapdin Ibrahim dan Pengarah JHEAINS, Datuk Ustaz Saiful Zaman Sangol.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *