Kekal fokus, jangan terlalu selesa – Kim Swee

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC mahu terus kekal fokus dalam setiap perlawanan bagi memastikan mereka tidak kehilangan mata khususnya menjelang aksi pertemuan menentang KL City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, para pemain perlu mempunyai sikap yang sama selain perlu mengekalkan momentum kemenangan dalam tiga perlawanan yang lalu.

“Semua pemain perlu memastikan agar kita tidak kehilangan mata penting pada setiap perlawanan.  Oleh itu mereka perlu tunjukkan mutu permainan berkualiti tinggi seperti mana dilalui sebelum ini.

“Namun masih terlalu awal untuk kita merasa selesa, meskipun mencapai dua kemenangan berturut-turut di tempat lawan namun setiap perlawanan itu berbeza.  Kita harus kekal fokus selain mengekalkan disiplin, ini pasti akan memberi keyakinan lebih untuk para pemain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan disini semalam.

Kim Swee berkata, saingan liga masih panjang namun pihaknya mahu semua pemain kekal fokus dalam setiap perlawanan yang bakal dihadapi mereka.

“Untuk perlawanan malam esok, saya jangkakan satu lagi perlawanan yang akan menguji segala aspek permainan, baik dari segi menyerang atau bertahan kerana kita tahu pasukan KL City FC mempunyai pemain-pemain yang berkualiti,” katanya.

Katanya, KL City FC juga mempunyai barisan pemain berpengalaman selain menjadi juara Piala Malaysia musim lalu.

“Selepas mereka mencapai kemenangan pertama bertemu Melaka United FC sudah pasti mereka ingin meneruskan rentak kemenangan termasuk kita.

“Namun bagi saya ini merupakan ujian yang lebih getir dan para pemain harus kekal fokus dengan apa jua perancangan yang akan kita lakukan esok,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *