Tekad mahu laksana tanggungjawab sebaiknya kepada PBT – Yunus

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU : Syarikat pelaksana pemasangan skrin pengiklanan digital (LED) di Sabah, Yunus Property Consultant Sdn Bhd bertekad mahu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaiknya kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yunus Apil berkata, ia merupakan satu tanggungjawab besar bagi menaikkan lagi imej dan keceriaan daerah-daerah yang terlibat dengan pemasangan skrin pengiklan digital berkenaan.

“Harapan saya adalah besar, kami bermula dengan sekeping kertas sehinggalah ianya (skrin pengiklanan digital) dipasang di tiang-tiang lampu jalan di beberapa daerah di Sabah.

“Namun harapan saya yang paling tinggi adalah untuk menyampaikan dan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada semua PBT dan membantu meningkatkan lagi taraf ekonomi peniaga bumiputera khususnya di Sabah,” katanya kepada Sabah Media disini hari ini.

Yunus berkata, pihaknya juga mahu membantu meningkatkan lagi sektor pelancongan di negeri ini menerusi pengiklanan yang ditawarkan dengan pakej harga yang berpatutan.

Katanya, pada masa ini sebanyak 130 buah unit telah tiba di Sabah dan akan dipasang di lima buah terlibat antaranya Tuaran; Keningau; Putatan; Tawau dan Penampang.

“Buat masa ini kita memberi fokus kepada lima daerah terlebih dahulu dimana Putatan telah dipasang 10 unit; Penampang (10); Tuaran (10) dan di Keningau sebanyak 30 unit dalam proses pemasangan.

“Penambahan baru lagi adalah di Penampang sebanyak 20 unit dan Tawau (30) dan kita juga akan pasang tambahan di Putatan sebanyak 20 unit,” katanya.

Katanya, sebanyak 2,424 unit skrin pengiklanan digital akan dipasang pada fasa pertama yang dijangka akan selesai dalam tempoh enam hingga tujuh bulan.

“Pada fasa seterusnya, kita akan melaksanakan pemasangan di tujuh buah daerah lagi iaitu di Kota Kinabalu; Sandakan; Lahad Datu; Papar; Sipitang, Beaufort dan Kota Marudu.

Yunus (tengah) dalam sidang media pada majlis MoU baru-baru ini

“Kita telah mengadakan perbincangan dengan kawasan-kawasan ini bagi memasang skrin pengiklanan digital namun disebabkan masa yang singkat sebelum ini, kita hanya mendapat respon lima PBT yang awal,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sambutan yang diberikan oleh pengiklan, Yunus berkata, pihaknya telah menerima sambutan yang menggalakkan khususnya dari syarikat-syarikat besar di negeri ini.

“Sebelum kita mengadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama PBT, kita menerima sambutan yang sangat mendukacitakan.

“Walaubagaimanapun, selepas sahaja majlis MoU dan pelancaran yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini, Alhamdulillah kami menerima sambutan yang positif.

“Ini termasuklah menerima pertanyaan dari syarikat besar seperti Grab, Food Panda dan juga Astro,” katanya.

Pada 12 April lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hadir menyaksikan MoU bagi pelaksanaan Projek Skrin Pengiklanan Digital.

MoU itu adalah diantara Yayasan Bumiputera Sabah Tenaga Sdn Bhd (YBS-TENAGA) yang merupakan anak syarikat Yayasan Bumiputera Sabah (YBS) dan PBT.

Projek Skrin Pengiklanan LED itu merupakan projek berasaskan pengiklanan digital melibatkan kerjasama YBS TENAGA dan usahawan Bumiputera iaitu Yunus Property Consultant Sdn.Bhd dan rakan-rakan kerjasama lain.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *