Golongan wanita diseru daftar sukarelawan Skuad WAJA

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU: Golongan wanita khususnya di negeri ini digesa untuk mendaftarkan diri sebagai sukarelawan Skuad Wanita Antijenayah (Waja).

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Dr. Zurina Abdul Hamid berkata, sukarelawan akan dilatih untuk membantu wanita dalam komuniti bagi menangani isu-isu berkaitan jenayah.

Katanya, selain itu, mereka juga akan jadi pendengar, memberikan respon dan nasihat kepada wanita lain yang mengalami masalah.

“Sukarelawan Skuad Waja merupakan program untuk membantu wanita dalam komuniti  berkaitan dengan isu keganasan dan jenayah terhadap wanita.

“Biasanya, sukarelawan akan menjadi referencemediator ataupun facilitator bagi menghubungkan wanita kepada pihak-pihak yang tertentu untuk mendapatkan bantuan.

“Sebagai contoh wanita yang menghadapi masalah kesihatan mental ataupun masalah tekanan akan dirujuk kepada kaunselor yang berdaftar,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Istana Seri Kinabalu, disini semalam.

Dr Zurina berkata, bagi kes wanita yang menghadapi keganasan, akan dirujuk kepada  Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala isu berkaitan kesihatan akan dirujuk kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mengulas mengenai skuad itu di Sabah, Zurina berkata, sukarelawan berjumlah 22,000 itu kini aktif menjalankan program sempena Ramadan khususnya di kawasan pedalaman. 

“Di Sabah, seramai 22,000 sukarelawan Skuad Waja telah dilatih dan sepanjang tahun ini sahaja, kita ada hampir 6,000 sukarelawan.

“Sukarelawan Skuad Waja ini juga sedang aktif dalam bulan Ramadan menjalankan pelbagai program dari daerah ke daerah terutama di kawasan pedalaman bagi melatih lebih ramai sukarelawan,” katanya.

Katanya, menerusi sukarelawan yang ramai, pihaknya akan dapat menyantuni lebih ramai wanita dalam dalam komuniti kerana pihaknya percaya wanita yang ada dalam komuniti ini memerlukan kumpulan sokongan yang kukuh bagi mendapatkan bantuan.

“Antara bantuan mereka perlukan tidak semestinya merujuk kepada kaunseling atau bantuan dari segi keselamatan dan perlindungan, ada juga memerlukan bantuan dalam konteks kemahiran, menjana pendapatan dan kewangan di samping menambah ilmu pengetahuan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *