Hargai kebersamaan, amal sikap toleransi – Joniston

Read Time:1 Minute, 19 Second

KIULU : Rakyat di negeri ini perlu terus menghargai kebersamaan dan mengamalkan sikap toleransi demi membangunkan masyarakat yang bertanggungjawab serta saling menghormati.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, masyarakat khususnya di daerah kecil ini terdiri daripada pelbagai latar belakang telah menunjukkan tahap toleransi agama yang tinggi.

“Walaupun berbeza agama, penduduk Kiulu tetap bersatu dan menghormati antara satu sama lain. Ini telah menjadi sebahagian daripada daya tarikan Sabah.

“Sebagai rakyat Sabah yang bertanggungjawab, kekuatan kita terletak pada keupayaan kita untuk bekerjasama dan kita boleh menjadi contoh kepada semua.  Kita mesti belajar untuk menghargai satu sama lain dan memupuk semangat saling hormat-menghormati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama masyarakat Islam di Dewan Masyarakat Kiulu di sini semalam.

Hadir sama Pegawai Daerah Tuaran, Syahrin Samsir; Penolong Pegawai Dareah Kecil Kiulu Justin Ginduk; Penolong Pegawai Daerah Tamparuli, Herman Tugigging; Pegawai Tadbir JHEAINS Tamparuli, Ustaz Suffian Kundu; dan Pengurus Besar Kim Teck Cheong Sylvia Pius.

Dalam majlis itu, Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu menyampaikan sumbangan Duit Raya kepada anak-anak yatim bagi pihak Mutiara GRS dan bakul makanan kepada golongan kurang berkemampuan.

Selain itu, beliau turut mengagihkan kurma kepada wakil setiap surau di Kiulu. Bakul makanan itu disumbangkan oleh syarikat Kim Teck Cheong.

“Bulan Ramadan ini adalah peringatan kepada kita semua untuk mengamalkan kebajikan dan membantu golongan yang kurang berkemampuan. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memberi sumbangan.

“Pada masa yang sama, kita harus mengekalkan majlis berbuka puasa sebagai sebahagian daripada acara tradisi untuk mengeratkan hubungan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.