KOTA KINABALU : Sabah FC perlu bangkit dan mendapatkan semula rentak permainan untuk mencapai keputusan yang lebih baik khususnya apabila bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Likas malam esok.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, pasukannya tidak boleh mengambil kira apa juga keputusan yang dicapai sebelum ini selepas skuad Badak turut tewas kepada Kuala Lumpur City FC di gelanggang lawan.
“Pasukan Kedah merupakan satu pasukan yang cukup kuat sebelum liga belum bermula lagi. Ini terbukti dengan kedudukan mereka sekarang selepas tewas kepada pasukan Selangor, mereka bangkit menewaskan pasukan Penang FC.
“Kita tidak boleh mengambil kira apa keputusan yang telah kita capai sebelum ini selepas kita juga tewas kepada pasukan KL City FC di mana saya percaya pasukan Kedah merupakan pasukan yang lebih seimbang.
“Kita harus pastikan kita mendapatkan rentak kita semula untuk mencapai satu keputusan yang baik,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Sementara itu, Kim Swee berkata, penyerang import Neto Pessoa kini masih lagi mengalami kecederaan dan perlu mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya.
Katanya, beliau mempunyai ramai pemain yang berupaya mengambil alih posisi Neto sementara proses pemulihan dari kecederaan selesai.
“Ini penting dalam saingan liga yang begitu panjang. Kecederaan, penggantungan, kad kuning harus kita terima dan memastikan pemain-pemain yang menggantikan pemain-pemain utama boleh menjalankan tugas dengan baik.
“Saya percaya juga semua pemain telah bersedia untuk diturunkan untuk perlawanan dengan Kedah esok bagi memastikan kita bermain dengan lebih baik seperti yang kita bermain bersama pasukan KL City,” katanya.