HomeIsu tempatanPeniaga Bazar Ramadan Lega Dapat Menjana Pendapatan Lebih

Peniaga Bazar Ramadan Lega Dapat Menjana Pendapatan Lebih

Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh YUSOF MOHAMAD

KLANG: Para peniaga sekitar Klang menarik nafas lega apabila sektor ekonomi telah dibuka sepenuhnya berikutan negara beralih ke fasa endemik.

Antaranya salah seorang peniaga, Mohd Sabri Mohd Amin,42, yang berasal dari Kg Air Batu 4, Jalan Apas Tawau dan kini menetap di Taman Sentosa Klang.

Mohd Sabri meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana telah membuka semula sektor ekonomi dan memberi peluang kepada peniaga-peniaga menjalankan aktiviti perniagaan mereka di bazar Ramadan tahun ini.

“Saya amat bersyukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan kami para peniaga berniaga semula di bazar Ramadan pada tahun ini.

“Sejak dua tahun yang lalu kami amat terkesan semasa pandemik Covid-19 melanda seluruh negara, kami tidak dapat menjalankan aktiviti perniagaan kami dengan baik namun berniaga secara online juga tidak memperolehi pendapatan yang tinggi,” katanya semasa ditemui di Bazar Ramadan Taman Andalas Klang semalam.

Mohd Sabri yang juga menjual makanan seperti nasi arab sejak 3 tahun yang lalu berkata, sebelum pandemik, pendapatan beliau boleh mencecah RM800 hingga RM1,500 sehari tapi agak merosot setelah pelbagai sekatan dilaksanakan untuk mengekang penularan virus Covid-19.

Menurutnya, beliau hanya menjalankan perniagaan secara online sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dan menjana pendapatan sekitar RM400 hingga RM500 sehari.

Mohd Sabri yang telah menetap di Semenanjung selama 16 tahun itu berharap kepada kerajaan agar memberi peluang kepada peniaga untuk meneruskan perniagaan mereka bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi pada hari-hari biasa dengan membuka satu tapak khas buat mereka yang ingin menjual produk-produk mereka.

Ini adalah untuk memastikan para peniaga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dapat terus bangkit dan meningkatkan semula ekonomi mereka bagi menyara keluarga.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

NDRC UMS perkukuh pengurusan bencana bersama pihak berkuasa tempatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular