Maritim Malaysia terus tingkat operasi di perairan Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan terus meningkatkan pemantauan dan operasi di perairan negara khususnya di perairan negeri Sabah menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama (Maritim) Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya akan terus mengukuhkan kawalan keselamatan dengan memastikan kesiapsiagaan aset-aset dan anggota berada ditahap yang tertinggi.

Katanya, ia berikutan Operasi Khas Pagar Laut 1/2022 yang telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia pada 14 April yang lalu turut melibatkan perairan negeri Sabah.

“Fokus terhadap penguatkuasaan dan operasi terutamanya di setiap titik panas di sekitar perairan Sabah serta langkah pencegahan yang efektif akan dilaksanakan supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negeri Sabah terus terpelihara.

“Operasi yang bermula pada 19 April hingga 17 Mei 2022 ini bertujuan mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Mohd Rosli berkata, musim perayaan ini seringkali digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan aktiviti penyeludupan, pencerobohan, penipuan serta jenayah-jenayah laut yang lain.

Katanya, perairan Sabah merupakan kawasan yang mudah dihubungkan dengan kenderaan laut untuk ke negara jiran dan faktor ini merupakan cabaran serta tanggungjawab Maritim Negeri Sabah berhadapan dengan pelbagai ancaman jenayah rentas sempadan meliputi penyeludupan seperti kontraband, PATI, dadah serta barang kawalan bersubsidi.

“Selain tugas penguatkuasaan dalam memastikan keselamatan perairan sentiasa aman dan selamat yang menjadi tugas utama, Maritim Malaysia juga sentiasa bersedia untuk mengerahkan aset-aset laut bagi melaksanakan tugas-tugas CARILAMAT,” katanya.

Terdahulu di minggu kedua bulan Ramadan, sebuah bot yang membawa 20 orang penumpang telah karam di perairan Semporna dan telah mengorbankan seorang remaja perempuan serta enam kanak-kanak.

Kejadian ini diharap menjadi pedoman serta pengajaran buat komuniti maritim agar sentiasa peka terhadap keselamatan diri dan ahli keluarga ketika di laut.

Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim negeri Sabah dan Labuan untuk terus menjadi mata dan telinga kepada Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku jenayah laut dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan 088-387774 dan kecemasan ditalian 999.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *