Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip

Pembinaan tiang lampu multi fungsi diarah berhenti kerja serta-merta

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan notis arahan berhenti kerja serta merta kepada syarikat yang terlibat dengan pembinaan tiang lampu multi fungsi (Smart Pole) di tanah lapang Taman Jindo.

Datuk Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata, pihaknya juga telah menerima aduan daripada penduduk di kawasan berkenaan pada Jumaat lalu.

“Selain menerima aduan daripada penduduk di Taman Jindo pada 22 April lalu, kita juga mendapat kenyataan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang Phoong Jin Zhe melalui Facebook beliau semalam.

“Setelah disiasat didapati kerja-kerja terlibat adalah pembinaan tiang lampu multi fungsi (Smart Pole) oleh salah satu syarikat dan pada hari sama, kita telah mengeluarkan notis arahan berhenti kerja serta merta kepada syarikat tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noorliza berkata, notis itu dikeluarkan selepas kelulusan akhir belum lagi diperolehi dari DBKK.

Katanya, selaras dengan kelulusan garis panduan pembinaan struktur pemancar komunikasi di kawasan bandaraya Kota Kinabalu oleh Ketua Menteri Sabah pada 15 Disember 2021, garis panduan tersebut telah dilancarkan pada 02 April 2022.

“Bagi menambah baik tahap perkhidmatan komunikasi digital di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kerjasama pihak Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap pemudah caraan pelaksanaan infrastruktur digital di peringkat Negeri amat diperlukan.

“Penggunaan platform digital menjadi semakin rancak susulan kepada amalan norma baharu berikutan pandemik COVID-19.

“Keadaan ini turut mencetuskan lebih banyak aktiviti transaksi secara dalam talian seperti mengadakan persidangan dan mesyuarat secara maya (virtual), menjalankan kaedah pembelajaran dari rumah, membeli belah untuk keperluan asas harian,melayari perkhidmatan hiburan serta sukan termasuklah membuat pesanan makanan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Noorliza berkata, isu seperti ‘overcrowded’ dan ‘drop call’sering menjadi masalah terutama di kawasan penduduk berkepadatan tinggi.

Katanya, mengambil kira kawasan bandaraya Kota Kinabalu yang telah pesat dibangunkan, kawasan-kawasan untuk pembinaan struktur menara komunikasi adalah sangat terhad.

“Oleh yang demikian, alternatif bagi masalah ini diatasi dengan memperkenalkan tiang lampu multi fungsi (smart pole).  Tiang lampu multi fungsi akan dipasang di lokasi-lokasi yang terpilih bagi persediaan ke arah pelaksanaan teknologi 5G.

“Ianya untuk memberi liputan digital komunikasi yang menyeluruh ke atas kawasan yang berkepadatan tinggi dan penggunaan internet yang tinggi dengan cara penggantian tiang lampu jalan sedia ada atau pemasangan Tiang Lampu Multi Fungsi baharu dengan ketinggian tidak lebih dari 18 meter di kawasan-kawasan seperti tanah lapang, tanah rizab kerajaan dan kawasan yang diselenggara oleh pihak DBKK,” katanya.

Selain berfungsi sebagai alat telekomunikasi, tiang lampu multi fungsi akan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), lampu jalan, dan Papan LED (mengikut lokasi) yang mana sudah tentu akan memberi kemudahan, keselesaan dan keselamatan kepada penduduk sekitar.

Struktur tiang lampu multi fungsi akan dipantau secara tahunan dan akan dikeluarkan permit tahunan oleh DBKK.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *