HomeUtamaPelajar USM maut terjatuh ketika mahu ambil pakaian 

Pelajar USM maut terjatuh ketika mahu ambil pakaian 

Read Time:1 Minute, 24 Second

BERNAMA

GEORGETOWN: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian seorang pelajar lelaki Universiti Sains Malaysia (USM) ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan Desasiswa Tekun, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan berusia 22 tahun itu dipercayai tergelincir ketika mahu mengambil pakaiannya yang terjatuh daripada ampaian.

“Menurut keterangan rakan-rakan mangsa, pelajar berkenaan pada mulanya memanjat tembok koridor di tingkat lapan itu untuk mengambil pakaiannya yang terjatuh dari ampaian di kawasan bahagian luar koridor iaitu terdapat ruang kira-kira dua kaki persegi di situ (ruang simen) sebelum mangsa terjatuh ke bawah.

“Mereka (rakan-rakan mangsa) hanya menyedari mangsa terjatuh selepas dia tidak masuk ke bilik semula sebelum bertindak mencarinya dan menemui mayatnya di kawasan bawah bangunan asrama itu kira-kira jam 10.30 malam sebelum memaklumkan kepada pengurusan universiti serta menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.

Beliau juga menafikan mangsa membunuh diri sebaliknya ia adalah kemalangan dan kejadian itu disiasat sebagai mati mengejut.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung kejadian seorang pelajar USM ditemukan mati dipercayai terjatuh daripada bangunan asrama di situ.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Kelestarian dan Pembangunan Institusi) USM, Prof Dr Md Roslan Hashim berkata USM telah melantik sebuah pasukan kerja untuk memeriksa fasiliti pelajar terutama di desa siswa bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.

Katanya, pasukan itu sedang meneliti semua aspek yang perlu dan mengambil langkah pencegahan untuk mengelak kejadian sama berulang.

“Pihak universiti juga menasihatkan semua pelajar agar lebih berhati-hati untuk memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya dan menambah USM akan terus memantau keselamatan pelajar dari semua aspek yang berkaitan menerusi pengurusan desa siswa dan majlis penghuni desa siswa.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular