KPM bekal jaket keselamatan, tidak berkompromi soal keselamatan murid

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 51 Second

BONGAWAN : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membekalkan jaket keselamatan kepada murid dan guru serta anggota kumpulan pelaksana (AKP) sekolah di Kampung Nangkawangan, Nabawan.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menguruskan bekalan jaket keselamatan berkenaan.

Katanya, jaket keselamatan itu akan dibekalkan kepada semua murid, guru dan AKP sekolah yang terlibat menggunakan perkhidmatan bot sementara untuk menyeberangi sungai selepas jambatan gantung di kampung berkenaan rosak akibat banjir baru-baru ini.

“Demi keselamatan anak-anak, kita juga sentiasa mengambil berat tentang keselamatan bukan sahaja di Nabawan malah di seluruh negara.  Kita tidak berkompromi soal keselamatan murid-murid, ini adalah keutamaan KPM.

“Sementara menunggu jambatan baharu itu siap, sudah pasti perkhidmatan bot akan digunakan dan untuk itu saya telah mengarahkan JPNS dan PPD menguruskan jaket keselamatan berkenaan.

“Kita akan bekalkan jaket ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan namun saya akan menyemak semula sekiranya tiga sekolah lain yang berada di kawasan berkenaan juga menggunakan bot juga akan dibekalkan,” katanya dalam sidang mediai disini hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya akan sentiasa memantau secara dekat perkembangan isu yang ditularkan sejak kelmarin selain akan bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan dalam isu berkenaan.

Katanya, pihaknya turut difahamkan sebanyak lima buah jambatan gantung terputus hubungan akibat banjir selain turut menghubungkan empat buah sekolah termasuk SK Nangkawangan.

Antara sekolah lain terlibat SK Binanon; SK Mamagon dan SK Pohon Batu.

“Banjir yang berlaku baru-baru ini mengakibatkan lima buah jambatan gantung musnah dan empat buah sekolah terjejas namun hanya satu sekolah sahaja yang ditularkan oleh netizen.

“Saya cukup yakin dan percaya pendekatan yang dibuat Kerajaan Pusat dan Negeri.  Kita berterima kasih banyak kepada Kerajaan Negeri yang telah mengambil tindakan pantas meluluskan beberapa peruntukan beberapa infrastuktur awam.

“Dipihak KPM sendiri, kita akan membantu mana yang berkaitan dengan kementerian,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, pihaknya akan terus memberi keutamaan kepada mana-mana sekolah yang menghadapi risiko khususnya tanah runtuh, banjir dan sebagainya.

“Kita juga akan pastikan langkah-langkah perlu sekiranya ini berlaku.  Sekiranya berlaku di sekolah kita sudah ada garis panduan apa yang perlu dibuat.

“Sekiranya berlaku diluar sekolah, kita akan sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan demi keselamatan anak-anak kita,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *