2 ditahan dalam kes pelajar IPT cedera ditumbuk, ditendang, disamun

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 14 Second

CYBERJAYA – – Seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) cedera akibat ditumbuk di muka, ditendang, disamun dan ditinggalkan di tepi jalan oleh rakan lelakinya di Jalan Kedai Mulong, Kota Bharu.

Gadis berusia 20-an itu yang bengkak dan lebam di muka serta hidung dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa dikatakan keluar bersama rakan lelakinya yang juga suspek pada 10 malam kelmarin untuk makan malam di sekitar bandar itu.

Selepas makan katanya, suspek mengajak mangsa menemaninya berjumpa rakan di sebuah hotel.

“Semasa berada di hotel itu, suspek bersama rakan lelakinya mengajak mangsa ke sebuah bilik penginapan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, akibat takut dan curiga dengan tindakan suspek, mangsa meminta suspek menghantarnya pulang.

“Ketika dalam perjalanan pulang, berlaku pertengkaran di antara suspek dan mangsa. Susulan itu, suspek memberhentikan keretanya dan menumbuk serta menendang mangsa.

“Suspek turut mengambil telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa sebelum meninggalkan wanita berkenaan di tepi jalan. Akibat kejadian itu mangsa mengalami kerugian RM3,000.”

Rosdi berkata, mangsa kemudiannya menghubungi Balai Polis Nilam Puri untuk memaklumkan kejadian itu sebelum dibawa ke HRPZ II untuk rawatan lanjut.

Susulan itu, polis menahan dua lelaki berusia 20-an, masing-masing anggota tentera dan pemandu lori, yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu pada 5.30 petang semalam selepas mereka menyerah diri.

Katanya, kes itu diselesaikan dalam tempoh 24 jam dengan tertangkapnya dua suspek terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *