HomeEkonomiMalaysia catat pertumbuhan positif suku pertama

Malaysia catat pertumbuhan positif suku pertama

Read Time:5 Minute, 3 Second

Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama 2022 berbanding penguncupan 0.5 peratus pada suku yang sama 2021, disokong terutama oleh permintaan domestik yang bertambah baik apabila kegiatan ekonomi terus kembali normal dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.

Pada kadar ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menetapi unjuran yang dibuat penganalisis ekonomi yang optimis mengenai permintaan domestik yang semakin baik, terutama penggunaan swasta yang membentuk 58.8 peratus daripada ekonomi ini.

Menurut kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada Suku Pertama 2022 yang dikeluarkan pada Jumaat, keadaan yang bertambah baik ini juga mencerminkan pemulihan pasaran pekerjaan, dengan kadar pengangguran terus susut kepada 4.1 peratus (suku keempat 2021: 4.3 peratus), di samping sokongan dasar yang berterusan.

Dalam pada itu, sidang media secara fizikal juga diadakan di Sasana Kijang, BNM di sini memandangkan negara sedang berada dalam fasa peralihan ke endemik selain pembukaan semula sempadan antarabangsa mulai 1 April, 2022.

BNM menjelaskan, permintaan luaran yang kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan juga memberikan sokongan selanjutnya kepada pertumbuhan.

Mengulas prospek 2022, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, ekonomi domestik dijangka terus bertambah baik tahun ini, dengan pertumbuhan diunjurkan di antara 5.3 peratus dengan 6.3 peratus seperti yang diumumkan pada Mac 2022.

“Unjuran ini disokong oleh permintaan domestik yang lebih kukuh, permintaan luaran yang terus berkembang dan pasaran pekerja yang terus bertambah baik.

“Pertumbuhan juga akan menerima manfaat daripada pelonggaran sekatan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pelaksanaan projek pelaburan,” katanya dalam kenyataan yang sama.

BNM menambah, bagaimanapun, risiko terhadap momentum pertumbuhan Malaysia masih wujud.

Risiko itu termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meruncing, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk, perkembangan buruk berhubung dengan Covid-19 dan volatiliti pasaran kewangan yang meningkat, jelas bank pusat.

Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.2 peratus pada suku pertama

Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.2 peratus pada suku pertama (suku keempat 2021: 3.2 peratus).

https://www.bnm.gov.my/documents/20124/7121127/qb22q1_slides.pdf

BNM menjelaskan, ini mencerminkan terutama sumbangan yang lebih kecil daripada kesan asas yang luput daripada harga bahan api runcit yang lebih rendah tahun lepas, dan ketiadaan kesan asas daripada rebat tarif elektrik yang dilaksanakan pada 2020.

Inflasi teras meningkat kepada 1.7 peratus pada suku itu (suku keempat 2021: 0.8 peratus).

Perkara ini mencerminkan pelarasan harga berikutan kos lebih tinggi serta keadaan permintaan yang bertambah baik, dengan kenaikan harga lebih ketara khususnya bagi item makanan disebabkan faktor berkaitan bekalan seperti harga komoditi global yang lebih tinggi, tambahnya.

https://www.bnm.gov.my/documents/20124/7121127/qb22q1_slides.pdf

“Bagi 2022, inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata 2.2 peratus hingga 3.2 peratus dalam persekitaran kos input yang tinggi dan permintaan yang bertambah baik.

“Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, juga dijangka meningkat pada tahun ini dengan mencatatkan purata 2.0 peratus hingga 3.0 peratus dengan beberapa faktor penting dijangka membendung sebahagian daripada tekanan harga menaik, iaitu langkah kawalan harga yang sedia ada dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi,” menurut BNM.

Bank pusat menambah, meskipun begitu, prospek inflasi terus bergantung pada perkembangan harga komoditi, yang berpunca terutama daripada konflik ketenteraan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.

Prospek ini juga bergantung pada langkah-langkah dasar dalam negaara berhubung dengan harga yang ditadbir, tambahnya.

Prestasi Sektor

Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan ekonomi dengan masing-masing berkembang sebanyak 6.5 peratus dan 6.6 peratus, menurut bank pusat.

Sektor pertanian meningkat sedikit 0.2 peratus berbanding 2.8 peratus pada suku sebelumnya, manakala sektor perlombongan dan kuari terus menurun 1.1 peratus daripada penurunan kecil 0.6 peratus sebelumnya.

Sektor pembinaan menyaksikan penurunan prestasi sebanyak 6.2 peratus daripada 12.2 peratus pada suku sebelumnya.

BNM menambah, pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 3.9 peratus (suku keempat 2021: 4.6 peratus).

Prestasi Ringgit

Nilai ringgit menurun sebanyak 0.7 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku pertama 2022 (keseluruhan tahun setakat 11 Mei 2022: -4.7 peratus).

Menurut BNM, secara umumnya, penurunan ini adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau (suku pertama 2022: -0.8 peratus; keseluruhan tahun: -3.4 peratus).

Hal ini disebabkan oleh kekukuhan dolar AS secara keseluruhan yang didorong oleh kadar faedah yang lebih tinggi di AS, sentimen penghindaran risiko global berikutan konflik di Ukraine dan jangkaan pertumbuhan yang sederhana di China, jelasnya.

Harga komoditi yang tinggi dan prospek pemulihan Malaysia juga telah mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai ringgit daripada kesemua faktor luaran ini, tambah bank pusat.

“Pada masa hadapan, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat dibendung meskipun pasaran kewangan domestik bergantung pada beberapa tempoh volatiliti yang tinggi.

“Kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang berdaya tahan membolehkan ekonomi berhadapan dengan kejutan luaran,” menurutnya.

Keadaan Pembiayaan

BNM memaklumkan, pembiayaan bersih kepada sektor swasta berkembang sebanyak 4.5 peratus (suku keempat 2021: 4.7 peratus) dalam keadaan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang lebih rendah (4.6 peratus; suku keempat 2021: 5.4 peratus).

Pertumbuhan pinjaman terkumpul mampan pada 4.4 peratus manakala pertumbuhan pinjaman perniagaan menjadi sederhana kepada 4.3 peratus (suku keempat 2021: 4.8 peratus), mencerminkan pertumbuhan pinjaman modal kerja terkumpul yang lebih rendah dalam keadaan pertumbuhan bayaran balik pinjaman yang terus tinggi.

Bagaimanapun, pertumbuhan pengeluaran pinjaman modal kerja kekal kukuh pada suku pertama (21.2 peratus; suku keempat 2021: 32.8 peratus) sejajar dengan pemulihan kegiatan ekonomi, jelas BNM.

“Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat merentas kebanyakan tujuan (4.8 peratus; suku keempat 2021: 4.2 peratus), dengan pertumbuhan yang mantap dalam pengeluaran pinjaman (12.7 peratus; suku keempat 2021: 9.5 peratus).

“Hal ini mencerminkan permintaan yang berterusan untuk pinjaman dalam kalangan isi rumah, terutama bagi pembelian rumah dan kereta,” tambah BNM.

Bank pusat menekankan bahawa daya tahan isi rumah terus disokong oleh keupayaan membayar hutang yang teguh dan penampan kewangan yang utuh pada peringkat agregat, dengan pemberian pinjaman disokong oleh standard pengunderaitan berhemat dan penilaian kemampuan peminjam mengambil pinjaman oleh bank-bank.

RELATED ARTICLES
Utama

Mencipta Masa Depan Gemilang untuk Semua Dalam Belanjawan 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular