RANAU : Masyarakat khususnya di daerah ini diseru untuk terus memastikan tahap kebersihan kawasan persekitaran berada pada tahap yang terbaik.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia sebagai persediaan bagi menyambut pelawat mahupun pengunjung yang akan berkunjung ke daerah ini sempena pembukaan sempadan negara yang membenarkan kehadiran pelancong luar.
“Sabah khususnya sudah membuka untuk kehadiran pelancong ke negeri ini. Jika dua tahun lalu, bandar kita bersih sebab tidak ada pelancong, tidak ada ramai pengunjung.
“Namun pada kali ini, sebagai persediaan penyambut pelanggan atau pelancong, marilah kita berganding bahu dan bekerjasama untuk terus menjaga tahap kebersihan Pekan Ranau ini khususnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pesta Kaamatan peringkat daerah Ranau di sini semalam.
Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, masyarakat di daerah ini juga masih boleh terus memperbaiki tahap kebersihan yang ada untuk terus kelihatan cantik, indah dan sebagainya.
“Caranya mudah, jangan membuang sampah di merata tempat, jangan merosakkan tandas awam dan sebagainya. Kita harus beringat bahawa apabial pekan bersih, akan lebih ramai pelawat akan datang.
“Sudah pasti akan lebih banyak peniaga akan mendapat keuntungan dari hasil jualan mahupun perkhidmatan yang ditawarkan kepada semua pelancong dan pengunjung,” katanya.
Selain itu, Masidi berkat, pihak pengurusan Majlis Daerah Ranau juga akan dapat mengutip cukai yang lebih banyak.
“Apabila cukai dikutip, sudah tentu akan lebih banyak perkhidmatan yang lebih baik diberikan oleh Majlis Daerah Ranau kepada rakyat di daerah ini,” katanya.