HomeIsu tempatanPeluang dedahkan usahawan Sabah ke pasaran lebih meluas melalui BNF

Peluang dedahkan usahawan Sabah ke pasaran lebih meluas melalui BNF

Read Time:2 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU : Usahawan sosial di Sabah perlu mendapatkan lebih banyak pendedahan di luar negeri untuk mencari peluang bagi mengembangkan produk masing-masing.

Pengurus Besar, Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi (SCENIC) Sabah, Viviantie Sarjuni berkata, selaras dengan tujuan itu, pihaknya berbesar hati membantu dengan menyediakan ruang menerusi kerjasama dengan usahawan lain di Semenanjung.

Katanya, hasil kerjasama dengan Sukaseni, pihaknya akan membawa usahawan dari negeri ini ke Borneo Native Festival (BNF) yang julung kali diadakan di ibu negara pada minggu hadapan.

“Objektif kami adalah untuk memberikan usahawan sosial pendedahan dan jaringan, serta peluang mengadakan kerjasama dengan usahawan lain di Semenanjung.

“Kami mahu mereka belajar mengenai ekosistem di Semenanjung. Usahawan harus memahami permintaan di Sabah mungkin berbeza daripada Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, di sini kelmarin.

Viviantie berkata, pihak SCENIC juga berkemungkinan akan menghantar lebih dari lima usahawan untuk festival berkenaan.

Kelmarin, SCENIC dan Sukaseni menandatangani Memorandum Persefahaman untuk kerjasama festival itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Antara usahawan yang terlibat adalah Jess Boubie yang akan mempromosikan barang kemas tembaga, Kraf Kelarai yang membuat beg dan kraf tradisional serta MJ oleh Mus yang menjual produk komuniti dan makanan tradisional.

Turut terbabit dalam promosi berkenaan adalah Moyog Innovation yang menyediakan infrastruktur asas e-dagang dan pemasaran serta bengkel latihan bagi membantu menjana pendapatan dengan menjual produk mereka atas talian.

Viviantie berkata, SCENIC yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, juga akan memberikan sokongan kewangan kepada Sukaseni dalam penganjuran festival yang bakal diadakan pada 20 dan 22 Mei depan.

Sementara itu, Pengasas Sukaseni Rafie Syazwan Arpandi berkata, penganjuran festival berkenaan mampu menggalakkan perkembangan ekonomi Sabah selain mempamerkan budaya serta gaya hidup masyarakat Borneo.

“Kami berharap usahawan tidak hanya menjual produk mereka sebaliknya melibatkan rakan usaha sama berpotensi di Semenanjung kerana kami tahu Kuala Lumpur adalah pusat ekonomi Malaysia.

“Mungkin ada yang ingin menjadi ejen atau menjual produk berkenaan di kedai mereka kerana produk Borneo ini berpotensi untuk mendapat lebih banyak permintaan.

“Ia kerana kebanyakan barangan ini amat jarang ditemui di Kuala Lumpur, Singapura, Sarawak atau Brunei,” katanya.

Menurutnya, terdapat 70 peserta akan mengambil bahagian dalam jualan kraftangan, makanan dan minuman serta lain-lain produk.

Rafie yang berasal dari Sandakan berkata, untuk edisi pertama festival itu, Sukaseni memasukkan kedua-dua agensi kerajaan, persatuan serta universiti dari Sabah dan Sarawak.

Katanya, ia membabitkan penyertaan bazar, pertunjukan kebudayaan dan demonstrasi makanan, pertandingan tarian, ceramah, bengkel, sesi pendidikan antara lain.

“Festival itu juga akan disertai bekas Miss Universe Malaysia, Francisca Luhong James dari Sarawak dan penyanyi Nikki Pallikat dari Sabah pada hari kedua.

“Selepas itu, ia juga akan disertai penyanyi tempatan dari Sabah iaitu Velvet Aduk dan Marsha Milan pada hari terakhir.

“Kita juga menggalakkan orang ramai untuk memakai pakaian tradisional pada hari Sabtu bersamaan pada 21 Mei depan. Ini masa kita!,” katanya.

Rafie berkata, pihak turut merancang untuk menjemput delegasi dari Indonesia dan Brunei Darussalam untuk bersama-sama pada tahun hadapan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya