HomeUtamaPesta Kaamatan langkah proaktif perkasa kebudayaan KDMR

Pesta Kaamatan langkah proaktif perkasa kebudayaan KDMR

Read Time:1 Minute, 21 Second

NABAWAN : Perayaan Pesta Kaamatan yang diadakan setiap tahun di negeri ini merupakan antara satu langkah proaktif dalam memperkasakan kebudayaan kaum Kadazandusun Murut Rungus (KDMR).

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, ianya juga dapat menjadikan budaya ini sebagai salah satu tarikan pelancongan.

“Penganjuran pertandingan seperti Unduk Ngadau, Sugandoi, Sukan Tradisi dan sebagainya pastinya akan dapat menarik minat dan hati pelancong.

“Namun, selain daripada acara pertandingan seperti ini, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi juga boleh menarik tumpuan pelancong ke negeri kita khususnya di daerah kecil kita Sook,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan peringkat Nabawan di sini semalam.

Ellron berkata, pihaknya berharap agar semua kaum KDMR dapat meneruskan nilai perpaduan dan toleransi antara satu sama yang lain.

Katanya, Pesta kaamatan ini tidak hanya disambut oleh kaum KDMR sahaja malah semua kaum yang lain juga turut serta merayakannya.

“Inilah keunikan yang wajar kita pertahankan bagi mengekalkan keharmonian dan keamanan antara kaum di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Ellron berkata, sambutan perayaan menuai padi yang amat berkait rapat dengan alam semulajadi ini merupakan satu pesta kebudayaan yang perlu diraikan dan dikekalkan.

Katanya, hal ini bertujuan bagi memastikan generasi seterusnya tidak lupa akan asal-usul nenek moyang mereka.

“Oleh itu, keaslian akan keunikan budaya, tradisi dan etnik ini dapat dipelihara seterusnya tidak ditelan oleh arus pemodenan.

“Saya menyeru kepada golongan belia khususnya untuk sama-sama memahami erti sebenar perayaan Kaamatan bagi memastikan budaya kaum KDMR terus terpelihara.

“Selain itu, saya juga amat berharap generasi muda mempelajari dan memartabatkan bahasa ibunda kita. Anda adalah penentu kepada kesinambungan hala tuju kebudayaan kaum KDMR pada masa akan datang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular