Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan geran tanah kepada wakil penduduk kampung di Tongod.

Rakyat luar bandar Sabah berhak menikmati pembangunan dan faedah hasil daripada kemerdekaan negara – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 11 Second

TONGOD: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) akan terus memajukan Sabah termasuk kawasan luar bandar melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri amat prihatin dan tidak mahu daerah-daerah yang jauh dari Kota Kinabalu mundur, kerana rakyat di daerah tersebut juga berhak menikmati pembangunan dan faedah hasil daripada kemerdekaan negara.

“Inilah yang Kerajaan GRS-BN lakukan kerana bagi kita yang penting ialah rakyat dapat menikmati apa jua pembangunan dan juga kemudahan-kemudahan asas yang sepatutnya mereka perolehi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Daerah Tongod Tahun 2022 dan Majlis Pecah Tanah Projek Komersil Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod, semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor diberi taklimat cadangan membina astaka Kompleks Sukan Tongod semasa melawat tapak pembinaan Kompleks Sukan Tongod.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor diberi taklimat cadangan membina astaka Kompleks Sukan Tongod semasa melawat tapak pembinaan Kompleks Sukan Tongod. – Foto ihsan JKM
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima buku Pelan Pembangunan Daerah Tongod 2022-2030 (Buku Suara Kuamut) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima buku Pelan Pembangunan Daerah Tongod 2022-2030 (Buku Suara Kuamut) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah. – Foto ihsan JKM

Hajiji berkata, Kerajaan GRS-BN mahu membawa Tongod dan daerah-daerah lain yang kurang pembangunan, keluar daripada kemunduran.

“Inilah niat kita sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan negeri pada September 2020 yang lalu. Kerajaan Negeri sememangnya akan membawa pembangunan terutama di kawasan luar bandar bagi dinikmati oleh rakyat kita yang selama ini mengharapkan sesuatu yang baik atau memberi manfaat kepada mereka, yang dapat dilakukan oleh Kerajaan.

Katanya, Kerajaan GRS-BN juga amat komited dalam menyelesaikan isu pemilikan tanah di negeri ini, menerusi penyerahan sebanyak 611 geran tanah yang berkeluasan 3,893 ekar kepada pemohon dari daerah Tongod.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 238 adalah geran tanah adat negeri (NT) hasil daripada permohonan tanah biasa, manakala geran NT hasil daripada Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) adalah sebanyak 373.

“Pada 12 Mei lalu, saya telah menyerahkan 206 geran tanah NT kepada pemohon di daerah Pitas. Dan pada Sabtu saya telah menyerahkan sebanyak 181 geran di daerah Telupid.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) akan sentiasa bekerja keras untuk menilai dengan teliti semua permohonan tanah yang dikemukakan oleh rakyat.

Menurutnya, sekiranya sesuatu permohonan itu tidak mempunyai sebarang halangan, tiada
sebab pengeluaran geran untuk tanah terbabit tidak dapat dilaksanakan.

“Justeru saya meminta semua penerima geran tanah agar mengusahakan tanah mereka dengan pertanian, kerana ianya dapat meningkatkan pendapatan mereka. Jika boleh bekerjasamalah dengan mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengusahakan tanah tersebut dengan pelbagai jenis tanaman termasuk kelapa sawit.

“Berdasarkan laporan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri bagi Mac 2022 yang dikeluarkan baru-baru ini, mencatatkan eksport minyak Sawit Malaysia berjumlah RM7.5 bilion, dengan Sabah mencatatkan angka tertinggi sebanyak RM1.8 bilion atau 23.5 peratus”, tambahnya.

Katanya, pemberian geran tanah itu bukan hanya sekadar untuk memastikan penduduk memperoleh tanah, sebaliknya membantu mereka untuk meningkatkan ekonomi menerusi pertanian seperti penanaman kelapa sawit dan tanaman lain.

“Justeru, saya menasihatkan kepada penerima geran NT supaya mengusahakan tanah bersungguh-sungguh dan tidak mengambil jalan singkat untuk mengaut keuntungan dengan menjualnya”, katanya yang turut menyerahkan satu warta perkampungan anak negeri iaitu Kampung Sanan seluas 49.3 ekar yang telah diwartakan pada 21 Okt 2021, di daerah Tongod.

Mengulas mengenai sambutan Pesta Kaamatan, Hajiji berkata, Kaamatan harus terus dipelihara dan diperkukuhkan sebagai pemantapan perpaduan serta keharmonian dalam kepelbagaian kebudayaan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan turut meluluskan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah untuk membina rumah kos rendah oleh LPPB di Tongod, projek membina astaka di Kompleks Sukan Tongod dan Rumah Pusat KebudayaanTongod/Kuamut.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasni, ADUN Telupid, Jonnybone J Kurum, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew dan Pegawai Daerah Tongod, Mohd Fauzi Norbe.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *