Aktiviti menarik meriahkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

BERNAMA

KOTA-KINABALU — Rakyat Sabah berpeluang untuk bersama-sama memeriahkan lagi siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) menerusi pelbagai program dan aktiviti menarik yang disusun rapi bagi edisi ‘Negeri Bawah Bayu’ pada kali ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong berkata program diterajui oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu akan berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Beliau berkata antara aktiviti yang akan menarik kehadiran pengunjung pada siri jelajah AKM itu di Sabah ialah Jualan Agro Keluarga Malaysia; Jualan Keluarga Malaysia; sukan elektronik; sukan rakyat; gotong-royong; kayuhan ‘Fun Ride’; kenduri Keluarga Malaysia; serta pameran kementerian dan agensi kerajaan.

“Selain itu, program Jamin Kerja Keluarga Malaysia juga dijangka menarik perhatian pengunjung. Sabah sekarang sedang dalam proses pemulihan ekonomi, maka pihak industri dan majikan bersama kerajaan Pusat dan kerajaan negeri serta agensi-agensi berusaha untuk melakukan padanan keperluan tenaga kerja di pasaran.

“Dengan potensi rakyat Sabah yang sedang mencari kerja atau kepada mereka yang ingin mengembangkan kerjaya masing-masing,” katanya dalam wawancara rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM1 hari ini.

Sementara itu, Safar berkata pihaknya akan memastikan program Jelajah AKM di Sabah berjalan lancar mengikut perancangan dan orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan siri jelajah berkenaan dengan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan.

Sabah merupakan destinasi ketiga siri jelajah AKM yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas siri pertama diadakan di Johor dan diikuti Perlis sebagai destinasi kedua.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *