Ketua Kampung, JPKK diseru jalin kerjasama demi kepentingan rakyat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

PENAMPANG: Pemimpin peringkat kampung diseru supaya saling menyokong antara satu sama lain bagi memastikan rakyat di kawasan masing-masing terbela.

Ketua Bahagian Kapayan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jafery Jomion berkata, Ketua Kampung dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri ini terutama di Penampang dinasihatkan supaya saling menjalinkan kerjasama demi kepentingan rakyat.

Katanya, mereka ini juga adalah mata dan telinga pemerintah dan seharusnya tugas serta tanggungjawab harus diberi keutamaan tanpa terus bermain politik atau bercakaran sesama sendiri.

“Ini berikutan ada beberapa aduan pemimpin kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayan yang diterima oleh pihak Bahagian dan ketika lawatan ke kampung di kawasan berkenaan.

“Punca masalah kerjasama berpunca daripada pelantikan mereka mendapat sokongan politik bercampur dari beberapa komponen parti pemerintah.

“Walaupun pada dasarnya kerjasama campuran adalah baik kepada penubuhan pemerintah sebuah kerajaan tetapi di peringkat kampung masih ada ramai lagi yang masih belum terbuka dan emosi dalam menerima penyokong parti lain menerusi jawatankuasa atau dalam kampung mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyertai program gotong royong membersihkan Dewan Raya Kampung Mogoputi, di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya ketua kampung yang dilantik mengemukakan sendiri calon pengerusi JPKK kepada pemimpin politik Bahagian atau wakil rakyat yang dipilih bagi mengelak masalah dari segi kerjasama di masa akan datang.

Beliau dalam pada itu turut meminta supaya pihak kerajaan membenarkan hanya individu yang sudah bersara sahaja boleh menjadi Ketua Kampung.

“Jawatan itu juga tidak boleh dijawat oleh ahli keluarga terdekat seperti isteri, adik beradik, anak atau pun menantu supaya lebih adil dan tiada unsur kronisma atau salah guna kuasa,” katanya.

Jafery sebelum itu meminta supaya kerajaan memberi peruntukan khas antara RM300 sehingga RM500 sebulan untuk bantuan pembayaran kos pembersihan, bil air dan elektrik kepada semua JPKK supaya dewan raya atau balai raya di kawasan masing-masing sentiasa terjaga.

“Ini supaya orang awam dapat menyewa dewan atau balai raya kampung dengan kos yang berpatutan dan pihak JPKK juga akan mendapat pendapatan untuk kos pembaikan dan sebagainya,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *