Berita baik untuk guru duka lara – NUTP 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 26 Second

CYBERJAYA – Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan guru membuat permohonan pertukaran sepanjang tahun disifatkan langkah penyelesaian terbaik menangani isu guru duka lara.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata langkah itu sangat baik dan memenuhi hasrat guru khususnya yang berada jauh daripada pasangan atau keluarga masing-masing.

“Sebelum ini kita dapati bahawa pertukaran guru perlu melalui pengetua atau guru besar. Dalam hal ini kita dapati bahawa orang yang paling sukar untuk ditukar adalah guru-guru yang rajin.

“Komitmen melaksanakan tugas yang tinggi, rajin dan hebat, jadi guru seperti ini biasanya pengetua atau guru besar sayang nak lepaskan, tanpa mengambil kira masalah dihadapi oleh mereka itu sendiri, masalah keluarga, duka lara mereka.

“Pengumuman KPM ini langkah penyelesaian terbaik menangani permohonan pertukaran guru,” katanya lapor portal BH.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman bahawa guru kini boleh membuat permohonan pertukaran sepanjang tahun dengan empat kali pertukaran iaitu pada Mac, Jun, September dan Disember berbanding dua kali sebelum ini.

Ia berdasarkan garis panduan baharu dikeluarkan KPM bagi menggantikan garis panduan sedia ada yang dikeluarkan pada 1975.

Mengumumkan keputusan terbaharu itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata, permohonan pertukaran sekolah oleh guru juga kini tidak boleh dihalang guru besar atau pengetua yang sebelum ini mempunyai kuasa untuk memberi kelulusan.

Selain itu Aminuddin berkata, keputusan itu juga memudahkan guru yang sukar mendapatkan kelulusan pertukaran berikutan tidak dapat memenuhi keperluan opsyen sesebuah sekolah.

“Contoh ada guru mohon berpindah balik ke Kelantan, tapi yang diperlukan hanya guru Bahasa Inggeris sahaja, walau opsyen guru itu bukan Bahasa Inggeris, dia ada kemampuan dan pengalaman mengajar subjek itu, jadi masih ada peluang untuknya balik,” katanya.

Dalam pada itu beliau juga berharap pengumuman dibuat KPM itu akan disusuli dengan surat pekeliling pada kadar segera.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *