Lencongan sementara jalan menghubungkan Kiulu-Ranau dibina

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

TUARAN: Kerja-kerja pembinaan laluan lencongan di Kilometer 19.2 Jalan Kiulu – Ranau yang ditutup akibat jalan runtuh semalam akan dilaksanakan bermula esok.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pembinaan laluan itu dijangka akan mengambil masa beberapa hari untuk disiapkan.

“Pada hari ini saya telah melawat ke lokasi kejadian tanah runtuh melibatkan laluan Kilometer 19.2 Jalan Kiulu – Ranau.  Saya juga telah diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Datuk Ir Ali Ahmad Hamid berhubung kerja-kerja pembaikan.

“Pihak JKR akan akan membina satu laluan lencongan sementara untuk semua jenis kenderaan dan kerja-kerja itu dijangka akan mengambil masa beberapa hari untuk disiapkan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak tanah runtuh di sini hari ini.

Hadir sama Jurutera JKR Daerah Tuaran Farini Awang.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata, kerja penyelesaian jangka panjang juga sedang giat dilaksanakan.

“Kami telah segera memaklumkan kepada Pengarah JKR dan jurutera daerah sebaik sahaja menerima maklumat kejadian tanah runtuh tersebut.

“Kami turut mengucapkan terima kasih atas tindakan pantas pihak JKR menutup segera jalan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, ” katanya.

Sementara itu, Ali Ahmad berkata, pengguna jalan raya boleh menggunakan Jalan Tamparuli-Ranau dan Jalan Pahu-Sinulihan tidak berturap sebagai laluan alternatif buat masa ini sehingga lencongan sementara selesa dibina.

Tanah runtuh kecil dilaporkan berlaku di tebing Jalan Pukak-Pahu-Nulu pada 13 Mei lalu akibat hujan yang berterusan.

Kejadian ini menyebabkan satu arah laluan berkenan ditutup bagi tujuan keselamatan. Petang semalam, satu lagi tanah runtuh dilaporkan berlaku di lokasi yang sama, menyebabkan pihak JKR menutup kedua-dua arah laluan itu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *