HomeUtamaHFMD : Sabah catat peningkatan, 2,834 kes dilaporkan

HFMD : Sabah catat peningkatan, 2,834 kes dilaporkan

Read Time:2 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU : Sabah merekodkan tren peningkatan jangkitan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) sebanyak 2,834 kes bagi tempoh Januari sehingga 16 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, ia merupakan peningkatan sangat tinggi berbanding 55 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, lima daerah yang melaporkan kes tertinggi adalah Tawau (435 kes), Sandakan (387 kes), Lahad Datu (308 kes), Kota Belud (244 kes) dan Papar (229 kes).

“Sehingga kini belum ada kematian dilaporkan disebabkan oleh HFMD. Sebanyak 93.1 peratus kes adalah kanak kanak yang berumur kurang dari enam tahun.

“Transmisi jangkitan majoritinya berlaku di rumah persendirian atau pusat pendidikan awal,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dr Rose Nani berkata, penyakit HFMD adalah penyakit yang kebiasaannya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 10 tahun di mana lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut yang disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus).

Katanya, HFMD merebak dari individu ke individu dengan kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam dari mereka yang dijangkiti. Kanak-kanak di bawah umur lima tahun adalah golongan yang paling mudah dijangkiti.

“HFMD selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama. Antara langkah-langkah yang sedang dijalankan oleh pihak JKNS adalah dengan melakukan siasatan segera ke atas kes-kes yang dilaporkan.

“Menjalankan promosi kesihatan dan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis yang berisiko seperti taska dan tadika bagi menilai tahap kebersihan dan amalan disinfeksi peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak supaya bebas daripada risiko jangkitan HFMD,” katanya.

Selain itu, Dr Rose Nani berkata, pihaknya juga akan mengarah penutupan premis di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk kerja-kerja pembersihan premis bagi memutuskan rangkaian jangkitan HFMD sekiranya terdapat kes positif HFMD di premis tersebut.

Katanya, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak pengendali taska,tadika dan memberikan khidmat nasihat sepertimana dalam buku Garis Panduan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) keluaran KKM.

“Kita juga akan menggalakkan amalan kebersihan diri di kalangan masyarakat dengan mengadakan promosi kesihatan di pasaraya dan tempat permainan kanak kanak terutama dalam meningkatkan disinfeksi secara berkala.

“Peranan ibubapa dalam pencegahan HFMD adalah memastikan langkah pencegahan penularan jangkitan HFMD dilakukan seperti membasuh tangan dengan sabun sebelum makan, semasa mengendali makanan dan selepas menggunakan tandas.

“Ibu bapa juga perlu menyuci dan disinfeksi bilik air, mainan dan barang lain yang disentuh anak dengan sabun dan air atau menggunakan cecair pembasmi kuman,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rose Nani turut meminta ibu bapa untuk tidak berkongsi cawan minum, peralatan makanan atau barangan peribadi seperti tuala dan berus gigi.

Katanya, ibu bapa juga perlu mengelakkan dari memeluk dan mencium anak yang dijangkiti selain membawa anak yang mempunyai tanda dan mengalami gejala jangkitan untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.

“Tidak menghantar anak yang dijangkiti ke tempat-tempat awam dan pusat pusat pendidikan awal,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS utamakan kebajikan pelajar, sedia bantu Crisnanalina daftar pengajian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular